
TEMPOH PERCUBAAN ‘NO RIGHT TURN’ PERSIMPANGAN DATARAN KLEBANG BERMULA HARI INI
AYER KEROH 27 Januari – Inisiatif ‘No Right Turn’ dilaksanakan di persimpangan Dataran Klebang bagi tempoh percubaan selama sebulan bermula hari ini hingga 26 Februari depan.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, inisiatif itu adalah strategi penyuraian trafik di Jalan Klebang – Bandar Melaka.
Katanya, aliran trafik di persimpangan berkenaan akan ditambah baik menerusi pengurangan laluan daripada empat fasa kepada dua fasa, sekali gus melancarkan pergerakan kenderaan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
“Penambahbaikan itu melibatkan penutupan laluan belok kanan (no right turn) di lokasi berkenaan, dengan kemudahan pusingan U disediakan kira-kira 200 meter dari persimpangan tersebut.
“Bagi kenderaan dari arah Bandar Melaka ke Klebang, laluan masuk masih dibenarkan seperti biasa, namun kenderaan dari arah Klebang ke Bandar Melaka tidak dibenarkan memasuki laluan ke Dataran Klebang dan Hotel Birkin serta memerlukan pusingan U yang disediakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Hameed berkata, pusingan U berkenaan hanya dibenarkan kepada kenderaan ringan, manakala kenderaan berat perlu menggunakan pusingan U lain yang terletak lebih jauh ke hadapan.
“Langkah ini dilaksanakan bagi mengurangkan konflik trafik di persimpangan serta memastikan aliran lalu lintas lebih teratur dan selamat kepada semua pengguna jalan raya.
“Kita harapkan dalam tempoh percubaan ini aduan dan rungutan pengguna jalan raya dapat diselesaikan memandangkan laluan terbabit sangat sesak apabila waktu puncak hari bekerja dan kritikal pada cuti umum,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


