
TERIMA KASIH KERANA HARGAI PENGORBANAN KAMI
TABOH NANING 8 Mac – Berbuka puasa sendirian dalam perjalanan ke tempat bertugas antara pengorbanan petugas barisan hadapan yang jarang diperkatakan oleh umum.
Bagi pengawal keselamatan di sebuah institusi pengajian tinggi di Simpang Ampat, Norliza Ismail, 48, dia hanya menikmati kegembiraan berbuka bersama suami dan seorang lagi anaknya yang belum berkahwin pada hari cuti.
Norliza yang tinggal di Paya Rumput, Masjid Tanah berkata, pada hari bertugas dia akan menyiapkan hidangan berbuka untuk suami dan anak sebelum bergegas ke tempat kerja kerana memulakan tugas pada jam 8 malam.
“Sejak awal Ramadan lalu inilah yang saya lalui, apabila azan Maghrib bergema saya berhenti sebentar di tepi jalan untuk berbuka, cukup sekadar minum air, menjamah kurma atau kuih sebelum meneruskan perjalanan ke tempat kerja.
“Bersahur pula dengan rakan setugas di pondok pengawal, apabila menerima kunjungan konvoi singgah sahur saya agak tersentuh, syukur masih ada yang ambil peduli dan menghargai pengorbanan kami,” katanya ketika ditemui pada Program Singgah Sahur Peringkat Dewan Undangan Negeri Taboh Naning, semalam.
Program itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid, merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah bersama 40 sukarelawan.
Sementara itu rakan sekerja Norliza, Mohd Nizam Razali, 24 ,dari Tampin, meluahkan rasa syukur apabila menerima kunjungan konvoi singgah sahur.
“Pada kebiasaannya saya singgah membantu ibu berniaga di Pasar Tamadan Tampin, jika masa mengizinkan dapatlah kami berbuka bersama, kalau sudah lambat terpaksa berbuka dalam perjalan ke tempat kerja.
“Syukur kerana sudi berkongsi rezeki dan terima kasih singgah untuk menyantuni kami, meskipun tidak lama tetapi amat bermakna lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


