Sorting by

×

‘TERIMA KASIH KETUA MENTERI RINGANKAN BEBAN KAMI’

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

TANJUNG BIDARA 4 Julai – Hanya terima kasih dan rasa bersyukur dapat diungkapkan Noor Qadirah Ab Kadir, 35, kerana nasibnya dan keluarga mendapat perhatian Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Noor Qadirah merupakan antara mangsa bencana ribut yang berlaku pada 29 Jun lalu hingga menyebabkan bumbung rumahnya di Kampung Air Hitam Pantai mengalami kerosakan kecil akibat diterbangkan angin kencang.

Dia merupakan antara 25 mangsa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang menerima sumbangan disampaikan Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, hari ini.

“Buat masa ini, kerosakan belum lagi dibaiki dan kami sekeluarga sedang berusaha membaikinya selain perlu mengambil langkah bersiap siaga dengan menadah besen sekiranya berlaku hujan.

“Mujur ada bantuan disampaikan Ketua Menteri kerana sekurang-kurangnya dapatlah kami menambah modal untuk membaiki bumbung yang rosak,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Japerun Tanjung Bidara, di sini.

Menceritakan detik-detik kejadian ribut itu, Noor Qadirah berkata, pada awalnya dia menyangka bunyi dentuman kuat di bahagian belakang rumah adalah disebabkan buah durian gugur.

Namun, dia terkejut apabila mendapati enam keping bumbung rumahnya tercabut akibat angin kencang yang berlaku secara tiba-tiba.

“Kawasan kampung ini kerap kali berlaku ribut seperti tahun lepas, namun kami tidak terkesan. Tapi tahun ini, giliran kami menjadi mangsa dan kami reda dengan ujian yang melanda,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

532
Kongsi :
Previous post ZIARAH KASIH ASNAF MUALAF TANDA KEPRIHATINAN MAIM
Next post JPS LAKSANAKAN LANGKAH SEGERA KURANGKAN RISIKO BANJIR KAMPUNG LUBOK KASAU