
TERNAKAN BERKELIARAN: MPAG KELUAR 50 NOTIS KOMPAUN TAHUN INI
ALOR GAJAH 28 Jun – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPG) telah mengeluarkan 50 notis tindakan kompaun ke atas pemilik haiwan ternakan berkeliaran setakat Januari hingga Jun tahun ini.
Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, tindakan itu diambil selaras di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Haiwan Ternakan (Majlis Perbandaran Alor Gajah) 2012.
Menurut beliau, setakat separuh pertama tahun ini, pihak MPAG aktif menjalankan Operasi Ternakan Berkeliaran dan hasilnya sebanyak 50 haiwan ternakan telah ditangkap kerana berkeliaran di jalan raya sehingga mampu mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“Daripada 50 haiwan ternakan itu, 33 daripadanya adalah kerbau dan 17 lagi merupakan lembu yang dikesan merayau di jalan raya dan lokasi awam.
Menurut TPr. Saifuddin, bagi memastikan isu ternakan berkeliaran terus dikawal, pihak MPAG akan terus mempergiat operasi di kawasan tumpuan dan lokasi yang sering menerima aduan berulang.
Pada masa sama, ujar beliau, pihaknya juga turut mengadakan perjumpaan bersama penternak di sekitar Alor Gajah bagi menasihati mereka agar menjaga haiwan ternakan mereka dan tidak membiarkannya berkeliaran di atas jalan raya atau kawasan awam.
“MPAG turut memaklumkan bahawa sekiranya haiwan mereka ditangkap atau disita, tiada pengurangan harga denda kompaun akan diberikan, di mana setiap haiwan ternakan yang ditangkap atau disita perlu dibayar RM1,000 seekor bagi tujuan penebusan,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.