
TERPAKSA BERSARA AWAL, JAGUH BINA BADAN BERSYUKUR DIBANTU YAKEB
BANDA HILIR 19 Jun – Keprihatinan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bukan sahaja membantu meringankan beban ahli malah memberikan sokongan moral untuk mereka meneruskan kehidupan selepas bersara dari arena sukan tanah air.
Bagi ahli YAKEB yang juga bekas atlet bina badan, Samsul Mat Juah, 59, berkata, selepas tamatnya karier dalam bidang sukan pada 2011 kerana kecederaan dialami, dia dan keluarga banyak menerima sokongan daripada badan kebajikan itu.
Katanya, penamat kariernya bermula selepas menyertai Kejohanan Sukan SEA pada 2011 apabila mengalami kecederaan tulang belakang dan kemudian diuji dengan beberapa penyakit lain termasuk komplikasi buah pinggang dan gout.
“Akibat penyakit yang dialami saya terpaksa bersara dari arena sukan sebelum membuat keputusan pulang menetap di Melaka bersama isteri dan tiga anak.
“Sepanjang diuji dengan keadaan kesihatan ini YAKEB banyak tampil membantu termasuk menanggung kos pembedahan sebanyak RM40,000 selain saya turut menerima elaun bulanan sementara.
“Bantuan disalurkan YAKEB ini amat membantu meringankan beban malah secara tidak langsung dapat memberi sokongan moral untuk saya khususnya berjuang,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan bantuan kesihatan pada Program ‘Visit & Treat – Skuad YAKEB Prihatin’ yang disampaikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim dengan Pengerusi YAKEB, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, pada Selasa.
Menurutnya, akibat penyakit buah pinggang kronik yang dihidapinya, dia kini terpaksa menjalani rawatan dialisis secara berkala.
“Sebagai ahli saya amat berterima kasih kepada YAKEB kerana sentiasa bersedia menyantuni ahli-ahli yang ditimpa musibah dan memerlukan bantuan.
“Ini menunjukkan walaupun tidak lagi dapat berjuang untuk negara, jasa dan pengorbanan kami sebelum ini terus dikenang serta dihargai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.