Sorting by

×

TERUJA DAPAT ‘BONDING’ DENGAN GAJAH ZOO MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 8 Februari – Pengalaman mendekati gajah dari dekat menjadi detik bermakna buat peserta Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Zoo Melaka.

Program Zoolunteer itu disertai 72 warga kerja Konica Minolta Business Technologies Malaysia Sdn Bhd yang bertujuan mempelajari rutin penjagaan haiwan di Zoo Melaka, selain menzahirkan komitmen mendidik orang ramai mengenai kepentingan pemuliharaan alam dan hidupan liar.

Bagi peserta, Aimie Fadzrul, 31, pengalamannya menjadi ‘zookeeper’ selama lebih lima jam sudah cukup mewujudkan ikatan keakraban antara manusia dengan hidupan liar.

Dia yang baru kali pertama terlibat dalam aktiviti CSR berkata, peluang berharga membersihkan kandang gajah membuka perspektif baharu terhadap haiwan yang sering dianggap liar dan berbahaya.

“Selama ini kita tengok gajah dari jauh sahaja, tetapi bila dapat dekat dan bersihkan kandang, rasa ‘bonding’ itu memang ada.

“Masa bagi makan pun kita boleh nampak sifat semula jadi gajah yang manja, terutama dengan penjaga mereka,” katanya.

Default
PESERTA program CSR di Zoo Melaka. Foto Hanisah Kashfi

Sementara itu, Norazuin Abu, 37, pula berkongsi kegembiraan diberi peluang membersihkan kandang kambing dan burung kakak tua.

Baginya, pengalaman berharga itu tidak akan mencapai objektif tanpa komitmen pihak Zoo Melaka yang memberi layanan mesra, selain fasiliti yang mencukupi untuk mengadakan program berbentuk CSR.

“Di sini kita dapat lihat pelbagai jenis haiwan dan pada masa sama dapat berbakti kepada kebersihan zoo.

“Saya sangat gembira dan harap lebih ramai warga Melaka serta pelancong luar datang memeriahkan Zoo Melaka,” katanya.

Nasrul Azim Mohammad Diah, 26, pula berkongsi pengalaman mengendalikan burung dengan memindahkannya dari sangkar menggunakan kayu yang disifatkan antara aktiviti paling unik pernah dilakukan.

“Pengalaman ini memang tak dapat buat di tempat lain. Memang seronok walaupun penat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

425
Kongsi :
Previous post PARAS 3 EMPANGAN MELAKA MASIH STABIL, BELUM ADA KEPERLUAN CATU AIR
Next post MPHTJ KONGSI REZEKI SEMPENA TAHUN BAHARU CINA