
TETAP PEKA, CAKNA KEBAJIKAN RAKYAT SELEPAS WRUR TAMAT
SUNGAI UDANG 29 Mei – Inisiatif cakna terhadap kebajikan dan peka permasalahan rakyat di Dewan Udangan Negeri (DUN) Sungai Udang akan berterusan meskipun selepas Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) berakhir.
Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berkata perkara itu adalah selaras dengan hasrat Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mahu WRUR menjadi medan kepada usaha ‘merakyatkan’ agensi-agensi Kerajaan Negeri.
“Menerusi WRUR pemimpin tempatan, wakil jabatan atau agensi dapat mendengar aduan daripada rakyat secara terus, mengurangkan kerenah birokrasi dan tidak perlu terlalu mengikut protokol.
“Sehubungan itu, meskipun WRUR sudah berakhir kita akan tetap turun padang bagi menyantuni dan mendengar keluh kesah rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Program Sungai Udang Berselawat di Kompleks Japerun Sungai Udang, di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad dan kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, isu berkaitan perumahan serta infrastruktur antara aduan paling banyak diselesaikan sepanjang WRUR DUN Sungai Udang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.