Sorting by

×

TIADA AKTIVITI BIDA TAPAK BAZAR RAMADAN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KLEBANG 25 Januari – Kerajaan Negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku sebarang aktiviti yang melanggar peraturan dalam penganjuran bazar Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.

Ia termasuklah berkait dengan aktiviti bida tapak bazar, selain menjual tapak pada harga lebih tinggi kepada peniaga lain.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, sekiranya berlaku salah laku tersebut, Kerajaan Negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang terlibat.

“Di Melaka alhamdulillah setakat ini tidak berlaku aktiviti bida tapak bazar Ramadan seperti yang berlaku di negeri lain. Setakat ini saya tidak mendengarnya lagi, tetapi jika ada, tindakan tegas boleh diambil.

“Saya percaya semua penganjur bazar sudah faham peraturan yang ditetapkan termasuklah tidak membenarkan aktiviti ‘sublet’ (menjual atau menyewakan tapak bazar kepada peniaga lain dengan harga lebih tinggi).

“Jika perkara ini berlaku kita boleh mengambil tindakan tegas dan saya juga percaya kesemua empat PBT di negeri ini akan sentiasa memantau bazar-bazar Ramadan dan Aidilfitri ini supaya perkara yang menyalahi peraturan ini tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan Majlis Upacara Penutup Kursus Asas Komando Siri AK3/2025 di Persiaran Encore Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) Mejar Jeneral Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab; Ketua Staf 21 GGK Brigedier Jeneral Mohd Musyadi Abdul Mutalib; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.

Menurut Rais, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi mengelakkan peniaga mahupun pengunjung dizalimi dengan penjualan pelbagai barangan dengan harga lebih mahal.

“Insya-Allah, jika ada perkara yang menyebabkan ketidakpuasan hati baik pengunjung ataupun peniaga di bazar kita akan mengambil perhatian dan disusuli dengan tindakan sewajarnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

594
Kongsi :
Previous post 50 PEGAWAI DAN ANGGOTA DIANUGERAHKAN BERET HIJAU, BERJAYA TAMAT KURSUS ASAS KOMANDO
Next post KARNIVAL TENTERA BERSAMA RAKYAT GAMIT LEBIH 10,000 PENGUNJUNG