
TIGA BULAN, MELAKA REKOD NILAI PELABURAN RM855.63 JUTA
SERI NEGERI 24 Ogos – Keupayaan Melaka dalam menarik keyakinan pelabur terbukti apabila berjaya merekodkan nilai pelaburan baharu berjumlah RM855.63 juta setakat tiga bulan pertama tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, nilai pelaburan yang diterima tahun ini meliputi pelbagai sektor strategik, antaranya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
“Ini sekali gus menyaksikan momentum positif Melaka dalam sektor pelaburan diteruskan selepas tahun lalu, melonjak sebagai destinasi pelaburan unggul.
“Ia selepas negeri ini berjaya menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Domestik (DDI) berjumlah RM8.18 bilion, jauh melepasi sasaran asal RM5 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Ucapan Taat Setia Ketua Menteri Melaka pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-76 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Dalam apda itu, Ab Rauf memaklumkan Kerajaan Negeri akan terus mengorak langkah proaktif melalui pembangunan kawasan perindustrian strategik bagi menarik kehadiran pelabur, antaranya seperti MCORP High Tech Park, German Technology Park (GTP) dan ELKAY 2.0.
“Tiga kawasan perindustrian ini sekali gus bakal menjadi pemangkin industri berteknologi tinggi, seterusnya menyokong sasaran pelaburan RM10 bilion menjelang 2030,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.