
TIGA DEKAD, WADE ‘LEJEN’ ALOR GAJAH MASIH DIGEMARI
REMBIA 27 Ogos – Mengekalkan kaedah tradisional iaitu penggunaan batu giling untuk melumatkan bahan utama antara tips diamalkan oleh S Gheeta, 58, dalam mengekalkan keenakan rasa kuih wade atau vadei sejak memulakan perniagaan makanan itu 30 tahun lalu.
Katanya, tips itu banyak membantunya untuk terus mempertahankan perniagaan kuih Vadei Warisan Alor Gajah, meskipun generasi muda kini cenderung memilih pelbagai jenis makanan ringan sesuai dengan peredaran zaman.
Gheeta berkata, idea menjual wade itu tercetus akibat kebimbangan tidak dapat membiayai kos pengajian tiga anak, berikutan ketika itu suaminya cuma mengharapkan gaji bulanan hasil bekerja di sebuah kilang untuk menyara mereka sekeluarga.
“Melihat keputusan peperiksaan anak yang bagus dan cemerlang menjadikan saya risau, jadi saya ambil inisiatif memulakan perniagaan wade untuk mengumpul dana sebagai persediaan membiayai kos pendidikan anak-anak.
“Saya berasa sangat gembira kerana hasil jualan wade mereka semua kini berjaya dalam hidup, anak pertama bekerja di singapura, anak kedua pula doktor di sebuah pusat perubatan swasta, manakala yang bongsu berniaga, namun pada masa yang sama dia tetap meluangkan masa membantu saya.
“Mungkin apabila saya mahu ‘pencen’ atau berehat nanti dia akan meneruskan perniagaan ini, rugi jika tidak disambung kerana Vadei Warisan kami usahakan adalah antara identiti pekan Alor Gajah,” katanya ketika ditemui di gerai miliknya di Pekan Alor Gajah di sini.
Katanya, wade dihasilkan digemari semua bangsa namun majoriti adalah dalam kalangan orang Melayu dan lebih membanggakan kuih dihasilkan turut memikat pelanggan dari Kuala Lumpur selain Singapura.
Berkongsi kisahkan Gheeta berkata, dia bersama suami mula berniaga di pasar tani dan pasar malam sekitar Alor Gajah, sejak itu wade dihasilkan mula menarik minat ramai.
Selain wade, dia turut menghasilkan produk lain seperti muruku yang juga dihasilkan dengan kaedah tradisional iaitu menggunakan batu giling untuk melumatkan bahan-bahan utama.
Meskipun sudah berusia, pasangan ini masih gigih mempertahankan perniagaan berusia tiga dekad itu dengan membuka gerai di Pasar Alor Gajah dan satu lagi lokasi di belakang Pejabat Pos Alor Gajah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.