
TIGA DITAHAN MILIKI SENJATA API TANPA LESEN DI JASIN
JASIN 5 Januari – Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita selepas dipercayai memiliki senjata api dan amunisi tanpa lesen dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Bemban, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin kira-kira jam 5.30 petang hasil maklumat awam.
Menurutnya, tangkapan membabitkan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 54 dan 45 tahun serta seorang wanita tempatan berusia 22 tahun.
“Hasil pemeriksaan di sebuah rumah sekitar daerah ini telah menemukan sepucuk senjata api jenis ‘shot gun’ bersama beberapa butir kelongsong peluru yang diletakkan di atas meja di bawah garaj rumah berkenaan.
“Susulan itu, ketiga-tiga suspek telah ditahan kerana disyaki memiliki senjata api dan amunisi tanpa lesen atau permit yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lee berkata, antara barangan yang dirampas dalam serbuan itu satu unit senjata api jenis ‘shot gun’ berwarna coklat, unit penghadang tangan senjata api, tali pinggang peluru serta beberapa butir kelongsong peluru jenis 12 bore pelbagai warna.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek wanita merupakan anak saudara kepada suspek lelaki berusia 54 tahun.
“Semakan rekod lampau mendapati dua suspek lelaki masing-masing mempunyai tiga dan tujuh rekod kesalahan jenayah serta dadah manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Ketiga-tiga suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


