Sorting by

×

TIGA FOKUS PERKASA BELIA, BINA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER KEROH 11 Ogos – Kerajaan Negeri menggariskan tiga fokus utama dalam memperkasa golongan belia sebagai hala tuju kepada semua Ahli Dewan Belia Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, fokus pertama ialah Memacu Kepimpinan Belia menerusi pelbagai inisiatif antaranya program Belia Progresif yang memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat langsung kepada belia.

Menerusi fokus itu juga, Ketua Menteri berharap penyertaan belia dalam pelbagai program dianjurkan Kerajaan Negeri terus meningkat, misalnya, Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang menjelajah ke 28 Dewan Undangan Negeri.

Menurut beliau, fokus kedua adalah Menyediakan Pendidikan dan Kemahiran Berkualiti menerusi penganjuran pelbagai program seperti tusiyen percuma, inisiatif Bijak SPM dan Pengajian Rahmah di Universiti Islam Melaka (UNIMEL) demi menyediakan akses pendidikan berkualiti.

Pada masa sama, ujar beliau, Melaka turut memperkasa bidang pendidikan latihan dan vokasional (TVET) dengen menjadi perintis Institusi TVET Tahfiz di Pulau Besar yang menawarkan persijilan profesional menyelam dasar laut, sekali gus menjadi yang pertama seumpamanya di dunia.

“Fokus ketiga adalah Menjana Peluang Pekerjaan dan Keusahawanan, di mana Kerajaan Negeri menyasarkan sebanyak 50,000 peluang pekerjaan dibuka melalui pembangunan tiga kawasan perindustrian strategik iaitu MCORP High Tech Park, German Technology Park (GTP), dan ELKAY 2.0.

“Pada masa sama, penubuhan Pusat Sehenti Usahawan (OSCE) dengan peruntukan RM29 juta oleh TEKUN kepada lebih 1,100 usahawan serta pengenalan Anugerah Usahawan Negeri Melaka 2025 dijangka dapat memperkasa belia dalam keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Persidangan Pertama, Penggal Pertama Dewan Belia Negeri Melaka Tahun 2025 di Anjung Makmur, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Speaker Dewan Belia Melaka Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Ketua Menteri dalam ucapannya menegaskan, pelaburan terhadap belia adalah keutamaan strategik bagi memastikan Melaka kekal berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan.

“Persidangan ini bukan sekadar acara dalam takwim negeri, tetapi satu detik bersejarah. Kita memberi ruang dan suara kepada belia untuk menjadi sebahagian daripada pembuat dasar, penyampai aspirasi rakyat, dan penggerak kemajuan negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

397
Kongsi :
Previous post CADANGAN AHLI DEWAN BELIA JADI INPUT BAJET 2026 NEGERI MELAKA
Next post MELAKA PERLUAS KEMPEN INTERNET SELAMAT DI SEKOLAH