
TIGA LELAKI BERKONVOI PULANG DARI THAILAND ANTARA DITAHAN AADK
Pengarah AADK Kedah Khairul Anwar Ahmad berkata mereka yang berusia 23 tahun itu ditahan dalam operasi sempena Tahun Baharu 2026 kira-kira 3 petang ketika melalui pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini.
Beliau berkata mereka berkonvoi ke Koh Samui, Thailand pada 28 Dis dan terpaksa bergegas pulang apabila bapa seorang daripadanya meninggal dunia.
“Mereka singgah sebentar di Hat Yai dan dipercayai mengambil bahan terlarang itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Khairul Anwar berkata dalam operasi bermula 6 pagi itu sebanyak 15 kereta dan 25 motosikal diperiksa selain 30 individu diminta menjalani ujian saringan air kencing sebaik memasuki sempadan negara.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 13 individu berusia antara 18 hingga 39 tahun didapati positif dadah termasuk seorang remaja baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia yang positif MDMA selepas pulang dari Danok, Thailand.
Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut.
Khairul Anwar berkata AADK Kedah akan terus mempergiat operasi melalui Unit Anti Dadah Bukit Kayu Hitam bagi membanteras isu penyalahgunaan dadah.
“Mereka mungkin hanya bermula dengan suka-suka namun kita bimbang ia membawa kepada penagihan lebih serius,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

