Sorting by

×

TIGA PEMANDU ‘BAS PINK’ DIGANTUNG TUGAS

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 22 Jun – Perkhidmatan tiga pemandu Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (MyBas) atau lebih dikenali sebagai ‘bas pink’ akan ditamatkan sekiranya didapati bersalah kerana memandu secara berbahaya dan melanggar peraturan jalan raya.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, setakat ini tiga pemandu berkenaan sudah dikenakan tindakan gantung tugas.

Katanya, dua daripada tiga pemandu tersebut dikesan melakukan pusingan U secara mengejut hingga membahayakan orang lain, sementara itu seorang terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa seorang pengguna jalan raya di Alor Gajah.

“Ketiga-tiga pemandu berusia 30-an yang melakukan kesalahan berkenaan pada bulan lalu kita akan tamatkan perkhidmatan mereka jika terbukti melakukan kesalahan tersebut, ketika ini siasatan sedang dilakukan.

“Mereka sekarang digantung tugas dan ini merupakan langkah awal bagi memastikan keselamatan,  kebajikan penumpang serta pengguna jalan raya sentiasa diutamakan.

“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang, lebih-lebih lagi melibatkan pengangkutan awam yang menjadi nadi pergerakan harian rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan MyLesen B2 Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil; Pengarah Bahagian Pelesenan Pemandu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Mohd Kamal Hisham Abu Bakar dan Pengarah JPJ negeri, Siti Zarina Mohd Yusop serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Hameed berkata pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ sedang menyiasat serta meneliti bentuk kesalahan yang dilakukan mereka termasuk menerusi rakaman tular yang tersebar di media sosial.

Hameed berkata pihaknya telah menerima aduan dan laporan berhubung tindakan tiga pemandu bas terbabit.

“Beberapa pelanggaran peraturan jalan raya dikenal pasti kerap dilakukan pemandu bas terbabit termasuk berhenti tidak mengikut hentian yang ditetapkan.

“Susulan itu kita akan mengadakan pertemuan dengan 60 pemandu MyBas negeri ini bagi memberikan penerangan berhubung keselamatan jalan raya dalam masa terdekat ini,” kata nyanyian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1976
Kongsi :
Previous post WANITA 70 TAHUN DITAHAN PANDU KERETA DI LORONG MOTOSIKAL