Sorting by

×

TIGA REMAJA MAUT, SEORANG PARAH KEMALANGAN MOTOSIKAL DI TAMBAK PAYA

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER MOLEK 28 Februari – Tiga remaja maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Tambak Paya, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, mangsa yang maut adalah Muhammar Adiff Farihin Mohd Anuar, 15; Muhammad Azmi Abdul Rahimah, 16; dan seorang remaja perempuan Nur Khairiah Mat Mazlin, 16.

Ketiga-tiga mereka merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil dan SMK Ayer Molek.

Manakala seorang lagi remaja lelaki berusia 18 tahun parah di kepala, tangan dan kaki dan kini ditempatkan di zon merah Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan dua buah motosikal dari arah Bukit Katil menghala ke Tiang Dua dan sebuah lagi dari arah bertentangan.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila tiga motosikal itu dipercayai bertembung menyebabkan berlaku rempuhan hingga seorang daripadanya turut putus kaki, selain mengalami kecederaan di kepala, muka dan tangan.

“Semua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat manakala ketiga-tiga motosikal ditahan bagi pemeriksaan lanjut di PUSPAKOM,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, siasatan turut mendapati kesemua penunggang tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Katanya lagi, siasatan lanjut juga masih diteruskan memandangkan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rakaman papan pemuka (dashcam) atau saksi bebas di lokasi kejadian setakat ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

447
Kongsi :
Previous post MPAG SANTUNI GOLONGAN MEMERLUKAN DI 9 DUN SEPANJANG RAMADAN
Next post KWSP UMUM DIVIDEN 6.15 PERATUS UNTUK SIMPANAN KONVENSIONAL DAN SHARIAH, JUMLAH PEMBAYARAN RM79.6 BILION