
TIGA USAHA MELAKA PERKUKUH EKOSISTEM KOPERASI
AYER KEROH 27 Julai – Kerajaan Negeri menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkukuh ekosistem koperasi di Melaka menerusi tiga inisiatif utama.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara usaha yang dilakukan adalah menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM300,000 bagi Geran Pemerkasaan Koperasi Kluster Mikro (e-Mikro) yang telah diumumkan pada pembentangan Bajet 2025 Negeri Melaka yang lalu.
Jelas beliau, menerusi geran tersebut, setiap koperasi layak memohon sehingga RM10,000 dalam bentuk maksimum RM7,000 peralatan dan RM3,000 modal pusingan.
Selain itu, ujar beliau, inisiatif kedua adalah penubuhan Pusat Inkubator berfasiliti canggih dengan kerjasama syarikat swasta dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka menerusi dana berjumlah RM300,000 daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Yang terakhir, mewujudkan Pusat Sehenti Usahawan (OSCE) sebagai hab strategik yang menghubungkan usahawan kepada pembiayaan, latihan, dan jaringan industri
melalui agensi seperti MARA, SME Corp dan TEKUN Nasional.
“Selayaknya, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Allex Seah Shoo Chin, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, dibantu oleh Timbalannya YB Tuminah atas kejayaan melaksanakan segala inisiatif ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Koperasi Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud; Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Ahmad Norihan Jalal; Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia Datuk Mohd Ali Mansor serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut mempelawa warga koperasi untuk bersama-sama Kerajaan Negeri memanfaatkan pelbagai acara berskala besar seperti Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 dan Pra Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 yang diadakan di Melaka pada tahun ini.
Jelas beliau, peluang keemasan itu perlu direbut untuk warga koperasi keluar daripada zon selesa, membina jaringan strategik dan memposisikan koperasi bukan sekadar di pentas tempatan, tetapi sebagai pemain utama di peringkat nasional dan serantau.
Pada masa sama, beliau juga menyeru lebih banyak koperasi di negeri ini melangkah ke bidang berimpak tinggi seperti ekonomi digital dan teknologi hijau, sebagai medan untuk memacu inovasi sosial dan membina semula ekonomi rakyat berteraskan nilai MADANI.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.