Sorting by

×

TINDAKAN PANTAS PARAKOM SELAMATKAN WANITA HAMIL

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDA HILIR 29 Jun – Tindakan pantas Paramedik Komuniti (PARAKOM) berjaya menyelamatkan seorang wanita hamil yang melalui situasi cemas apabila hampir rebah di Menara Taming Sari, di sini, malam tadi.

Pegawai Operasi First Aid Station St. John Ambulans Malaysia, Saiful Nizam Sairi berkata, pasukannya tiba kurang lima minit selepas menerima panggilan dan segera memberi rawatan awal sebelum mangsa dibawa ke hospital Melaka.

Bercerita mengenai Insiden tersebut, Saiful Nizam berkata, tindakan pantas diambil PARAKOM dan St. John Ambulans Malaysia (SJAM) sejurus menerima isyarat menerusi sistem ‘panic button’ yang disediakan di kawasan tumpuan pelancong itu membuktikan inisiatif Kerajaan Negeri memberi impak cukup besar kepada rakyat, termasuk pelancong.

“Pasukan yang bertugas di First Aid Station (FAS) Banda Hilir memberikan bantuan awal termasuk rawatan Basic First Aid dan Advance First Aid, hasil latihan menyeluruh yang diterima oleh anggota bertugas.

“Kejayaan menangani situasi itu membuktikan keberkesanan kolaborasi strategik antara SJAM dan pasukan PARAKOM, dengan sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

“Inisiatif dan penekanan yang diberikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh serta Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman, terhadap penempatan petugas terlatih di zon bebas kenderaan pelancongan ini membolehkan kami bertindak secara pantas dan efektif dalam situasi kritikal,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Saiful Nizam berkata wanita terbabit merupakan pelancong dari Indonesia dan berkunjung ke Melaka untuk bercuti bersama keluarga.

“Kita dimaklumkan wanita itu hamil 27 minggu dan situasi cemas berlaku apabila wanita terbabit tiba-tiba berasa sakit perut dan hampir rebah ketika berjalan.

“Inisiatif penempatan pasukan bantuan kecemasan di kawasan tumpuan pelancong merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam memperkasa aspek keselamatan pelancong, sekali gus memperkukuh imej Melaka sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang bukan sahaja bersejarah, tetapi juga selamat dan mesra pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

627
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI SERU SOKONGAN RAKYAT MELAKA JAYAKAN AGENDA KERAJAAN NEGERI
Next post SEKTOR PERTANIAN PENYUMBANG KETIGA TERBESAR KDNK MELAKA