
TINDAKAN TARIK SPHM SYARIKAT KOPI DI MELAKA BUKAN UNTUK JATUHKAN PERNIAGAAN – JAIM
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat berkata tindakan itu juga bukan bertujuan menjatuhkan reputasi atau merosakkan mana-mana entiti perniagaan.
“Kesemua prosedur atau syarat itu diterangkan dalam manual pensijilan Halal Malaysia dan ia perlu dipatuhi mana-mana pemegang sijil berkenaan, antaranya memastikan tempat penyimpanan bahan mentah bersih, sumber bahan mentah adalah halal dan tidak menggunakan barang dilarang dalam penyediaan makanan seperti berus daripada bulu babi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata SPHM amat penting, khususnya untuk pengguna Islam mendapatkan makanan halal dan sijil berkenaan bukan mudah diperoleh kerana perlu melalui beberapa proses atau penilaian ketat.
Md Azhan berkata pemegang SPHM juga mendapat banyak manfaat khususnya dari segi perniagaan kerana memberi keyakinan kepada pengguna untuk membeli makanan, minuman atau produk dikeluarkan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata pemain industri makanan dan minuman di negeri itu dinasihatkan agar mengikut garis panduan dan syarat pensijilan halal yang ditetapkan bagi mengelak tindakan tegas termasuk menarik sijil halal yang telah diberikan.
Beliau berkata umat Islam juga dinasihatkan agar menyemak dahulu status halal bagi mana-mana produk atau kedai makanan yang ingin dikunjungi di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengelak sebarang keraguan atau kekeliruan.
Media melaporkan sijil halal sebuah kilang memproses kopi dan biskut di Melaka ditarik balik serta-merta selepas didapati menggunakan berus dipercayai daripada bulu babi dalam kerja-kerja pembersihan peralatan.
Perkara itu dikesan menerusi pemeriksaan dijalankan Bahagian Pengurusan Halal JAIM pada Januari lepas, selepas anggota penguat kuasa menemukan penggunaan berus berasaskan bulu haiwan di premis terbabit.
Berus berkenaan disita sebelum dihantar ke Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) di Bandar Enstek, Nilai untuk pengesahan lanjut dan keputusan analisis yang diterima pada bulan lepas mengesahkan berus berkenaan mempunyai ciri fizikal bulu babi. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


