Sorting by

×

TINGKAT KESEDARAN WANITA MELAKA CEGAH KANSER PAYUDARA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDARAYA MELAKA 31 Oktober – Kesedaran mengenai pentingnya ujian awal bagi mengesan kanser payudara perlu ditingkatkan dalam kalangan golongan wanita, khususnya di negeri ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, ia berikutan masih ada sebahagian besar golongan wanita dibayangi perasaan takut dan kurang pengetahuan terhadap penyakit yang menjadi ‘pembunuh’ utama kaum hawa itu.

Jelas beliau, antara faktor utama menyebabkan penyakit itu semakin serius adalah apabila kebanyakan wanita tidak menjalani ujian saringan atau pemeriksaan awal bagi mengesan kanser payudara.

“Fokus utama kita (kerajaan) adalah untuk tingkatkan kesedaran awam mengenai betapa pentingnya ujian saringan serta pemeriksaan awal bagi mengesan kanser payudara dalam kalangan golongan wanita.

“Saya percaya dengan pendidikan kesihatan yang berterusan kita dapat mengubah stigma dan rasa takut terhadap pemeriksaan, sekali gus dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa melalui pengesanan dan rawatan awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Pink October 2025 anjuran bersama Putra Specialist Hospital (PSH) Melaka, GrabCar dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Kopi Cafe Putra, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PSH Melaka, Mohd Zahiruddin Ahmad dan Pengarah LPPKN, Suszma Khairitszi Mamat.

Dalam pada itu, Kalsom memuji usaha PSH Melaka, GrabCar dan LPPKN kerana berganding bahu menjayakan sambutan Pink October 2025 yang merupakan simbolik kepada sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara.

“Tahun ini tema bagi sambutan Pink October 2025 ialah ‘Pengesanan Awal Menyelamatkan Nyawa’ dan bagi saya ianya adalah bertepatan dengan usaha kerajaan menyampaikan mesej mengenai pentingnya kesedaran awam mengenai kanser payudara.

“Saya mengalu-alukan penyertaan serta kolaborasi strategik antara PSH Melaka bersama GrabCar dan LPPKN bagi menjayakan Pink October 2025 kerana ini membuktikan komitmen mereka terhadap tanggungjawab korporat serta mendekatkan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan komuniti kepada masyarakat umum,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

660
Kongsi :
Previous post KAPAL ABAD KE-13 DITEMUI DI PULAU MELAKA?
Next post BANGKAI KAPAL DITEMUI DI PULAU MELAKA DIPERCAYAI DIGUNAKAN PEMBESAR