Sorting by

×

TITIPAN KATA SEMANGAT AB RAUF BUAT NORIZA

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

TANJUNG BIDARA 5 Ogos – Doa dan kata-kata semangat dititipkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, menjadikan usahawan wanita ini kembali positif dalam menempuh ujian hidup selepas mengalami serangan angin ahmar.

Ketua Menteri berkata, dengan kata semangat yang tidak luntur, diiringi doa dan ikhtiar berterusan wanita cekal ini mampu bangkit semula daripada ujian dialami.

Akibat serangan angin ahmar empat bulan lalu, Noriza Sidek, 49, terpaksa berehat seketika dan bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak berikutan bahagian kiri badannya kini lumpuh.

Katanya, kesempatan berjumpa Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara dianggap sebagai momen penuh bermakna.

“Ketua Menteri bukan sekadar datang bertanya khabar, kata-kata semangat diungkapkan beliau menjadikan semangat saya untuk pulih demi anak-anak dan suami kembali membara. Semoga Allah SWT memberikan kesembuhan kepada saya.

“Syukur sangat dan terima kasih, dalam keadaan seperti ini beliau (Ketua Menteri) sudi singgah untuk jenguk saya, maknanya masih ramai yang ambil peduli,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Seruling Jaya, Masjid Tanah, di sini, pada Ahad.

Terdahulu Noriza dan suami menerima kunjungan Ketua Menteri bersempena Program Ziarah Kasih Santuni Rakyat di Taman Seruling Jaya.

Img 20250804 235444 730
NORIZA (berkerusi roda) ketika dikunjungj Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh. Foto Pejabat Ketua Menteri

Katanya, akibat masalah kesihatan dialami dia terpaksa bergantung kepada suami, Ariffin Buang Sejeli, 53, juga seorang pesara tentera yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Dua daripada lima anak kami masih belajar dan sekarang suami paling banyak berkorban apabila terpaksa menanggung kos membeli keperluan harian saya dan sesi terapi termasuk di pusat perubatan swasta.

“Saya tidak mahu terus membebankan suami dan anak-anak, saya amat berharap akan kembali pulih dan meneruskan perusahaan dijalankan sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini Noriza yang juga wanita masyarakat Orang Asli kerap diberi peluang oleh pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mempromosikan produknya ketika penganjuran acara besar peringkat nasional termasuk Pameran Pertanian, Hotikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).

Kepercayaan dan peluang itu diberikan kepada Noriza berikutan kualiti produknya yang menepati selera pengguna selain mengikut standard pengeluaran makanan ditetapkan pihak berkuasa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

589
Kongsi :
Previous post DERITA IBU HIDAP KANSER CETUS KEJAYAAN MUHAMMAD AZRUL
Next post WRUR REMBIA: 2,568 RUMAH, PREMIS TERIMA ALAMAT BAHARU KAMPUNG DIGITAL