
TOH PUAN ASMAH SANTUNI ANAK YATIM, ASNAF
BANDA HILIR 5 Mac – Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, sebaliknya menjadi medan terbaik untuk memperbanyakkan ibadah serta menyemai kasih sayang sesama insan.
Pengerusi Majlis Gabungan Pertubuhan Wanita (NCWO) Melaka Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman berkata, umat Islam kini berada dalam bulan paling mulia dan perlu merebut peluang mendekatkan diri kepada Allah serta melakukan kebaikan.
“Majlis yang kita adakan bukan sekadar satu majlis makan minum, ia adalah satu bentuk ibadah, satu pengabdian dan satu manifestasi kasih sayang kita kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Anak Yatim atau Asnaf Tahun 2026 anjuran Hatten Hotel bersama NCWO Melaka di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Melaka Datin Diana Aini Mokter; isteri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datin Ernie Adilia Karim serta Pengurus Besar Hatten Hotel Melaka Datuk Chuck Kassim.
Turut hadir wakil-wakil daripada Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah (KAYFAZ), Lembaga Pengurusan & Kebajikan Anak Yatim (PAYASUM) dan Pertubuhan Kebajikan Darul Aitam Bukit Pegoh yang bersama-sama meraikan anak-anak yatim dan asnaf dalam suasana penuh keberkatan.
Menurut beliau, anak-anak yatim yang hadir perlu menyedari bahawa mereka adalah insan istimewa di sisi Allah dan sentiasa dekat di hati masyarakat.
“Nabi junjungan kita sendiri pernah merasai pengalaman yang sama, namun baginda bangkit menjadi insan paling mulia di atas muka bumi ini.
“Maka teruslah belajar, teruslah berdoa dan jangan pernah berputus asa kerana Allah sentiasa bersama mereka yang bersabar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan atas kepercayaan, kerjasama dan dedikasi semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis berkenaan termasuk ahli jawatankuasa NCWO Melaka yang komited dalam melaksanakan kebajikan.
“Marilah kita manfaatkan Ramadan yang masih berbaki ini dengan sebaiknya. Tingkatkan ibadah, perbanyakkan sedekah dan teruslah berbuat baik kepada sesama insan kerana setiap kebaikan di bulan ini adalah pelaburan terbaik untuk dunia dan akhirat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


