
TOK RAOP, DATUK REMY ISHAK SANTUNI ORANG TANJUNG BIDARA
TANJUNG BIDARA 18 Mac – Masa terluang sementara menunggu waktu berbuka dimanfaatkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk menyantuni penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang ketika ini diuji dengan masalah kesihatan.
Ketua Menteri berkata, apa yang istimewa adalah pada Program Ziarah Kasih kali ini beliau ditemani oleh ‘Hero Malaya’, Datuk Remy Ishak yang bersama-sama turun padang menyampaikan bantuan serta menyantuni rakyat.
“Saya percaya, bukan sekadar bantuan dihulur kepada yang memerlukan tetapi niat serta tujuan murni yang menjadi penghubung antara pemimpin dan rakyat. Terima kasih juga kepada Datuk Remy yang menyertai program kemasyarakatan.
“Selain itu saya juga menziarahi saudara Ab Kadir Ab Talib ketika ini sedang dirawat di Hospital Alor Gajah. Saya mendoakan agar Ab Kadir diberikan kesembuhan oleh Allah SWT,” kata Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.
Dengan berkonvoi motosikal Ketua Menteri bersama Remy Ishak memulakan Ziarah Kasih menyantuni Jaafar Husin di Seri Jeram yang menghidap masalah buah pinggang kronik.
Antara yang diziarahi Ketua Menteri adalah tiga warga emas yang mengalami keuzuran iaitu Kelsom Ali di Kampung Pulau, Embon Bujan dari Lubok Redan dan Saorah Hasan di Ujong Padang.
Persinggahan terakhir adalah di kediaman Ab Khalim Baba yang juga antara kenalan Ketua Menteri yang kini terlantar akibat masalah angin ahmar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

