
TOK RAOP JADI INSPIRASI ANAK MUDA
TANJUNG BIDARA 15 Mac – Perkongsian pengalaman dan titipan kata nasihat daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, membuka minda serta menjadi panduan anak muda untuk merangka perjalanan hidup dalam dunia yang semakin mencabar.
Muhammad Danish Hazimi Khairi berkata, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Ketua Menteri adalah ‘role model’ buat anak muda yang mungkin masih tercari-cari haluan dalam hidup selepas tamat pengajian.

Pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Merlimau Melaka ini berkata, paling menarik perhatian adalah pesanan Ketua Menteri mengenai kepentingan membina jaringan (networking) kerana ia adalah tiket untuk seseorang terus maju dalam kehidupan dan kerjaya.
“Rapat dengan semua orang disekeliling, insya-Allah akan ada peluang tercita untuk kita, pesanan Ketua Menteri ini akan menjadi panduan bagi saya yang bakal menempuh ke dunia pekerjaan tidak lama lagi.
“Saya juga kagum dengan gaya pemikiran Ketua Menteri yang jauh ke hadapan banyak suri teladan boleh dijadikan contoh serta panduan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Bersama Mahasiswa Dan Pelajar Tingkatan 6 Parlimen Masjid Tanah di Villa D’Acqua, Masjid Tanah, di sini, semalam.
Pada majlis itu anak muda Masjid Tanah diraikan berpeluang bertukar pandangan dan mendengar pesanan disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Adun Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Yang turut hadir Pengurus Besar, Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Abdul Aziz Baba, guru-guru pengiring, mahasiswa dan pelajar-pelajar tingkatan enam.
Sementara itu, penuntut Open University Malaysia (OUM) Ummi Izzati Mohamad berkata, peluang yang ada digunakan untuk mengenali Ketua Menteri dengan lebih dekat.

“Rasa gembira kerana dapat berjumpa empat mata dengan Ketua Menteri, banyak input dan pesanan daripada ada beliau untuk mahasiswa dalam menghadapi dunia semakin mencabar,” katanya.
Manakala penuntut Ijazah Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM) Muhammad Nuraiman Mohd Yusroni, berharap program sedemikian diteruskan pada masa akan datang.

Katanya, majlis seumpama itu merapatkan lagi hubungan antara mahasiswa anak Melaka dengan kepimpinan negeri.
“Antara inisiatif dilaksanakan Ketua Menteri yang menarik perhatian saya adalah berhubung sejarah sebenar sejarah Melaka yang dibengkokkan oleh penjajah, secara tidak langsung ia menarik minat kami sebagai orang muda untuk tahu fakta sebenar mengenai kegemilangan negeri bertuah ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


