Sorting by

×

TPM MAHU UBAH TANGGAPAN NEGATIF TERHADAP ‘GENG BIKERS’

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

PAYA RUMPUT 24 Januari – Tanggapan negatif yang dilemparkan terhadap peminat sukan permotoran yang dikaitkan sebagai hobi melalaikan dan jauh dari agama perlu diubah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menegaskan, persepsi itu perlu diperbetulkan kerana bukan semua aktiviti riadah santai seperti konvoi bermotosikal menjurus ke arah negatif, sebaliknya ada dalam kalangan komuniti itu juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Mungkin ada yang menganggap ‘bikers’ atau penunggang motosikal ini orang yang jauh dengan Allah SWT, tidak solat dan terlibat dengan maksiat. Tapi saya mahu gambaran ini diketepikan.

“Sebab itulah di bawah kumpulan saya, saya mengambil pendekatan untuk memperkenalkan komuniti ini lebih dekat dengan Allah SWT dengan pelbagai aktiviti yang menunjukkan keprihatinan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada lawatan kerja pertama ke Negeri Melaka 2026 di Pondok Darul Muttaqin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta lain-lain kenamaan.

Whatsapp image 2026 01 24 at 12.37.37
TIMBALAN Perdana Menteri menyertai konvoi bermotosikal menyantuni komuniti memerlukan di Negeri Melaka.

Pada lawatan itu, Ahmad Zahid yang menunggang motosikal diiringi kira-kira 50 peserta tiba di Pondok Darul Muttaqin kira-kira jam 10.20 pagi dan disambut lebih 100 pelajar tahfiz dan komuniti setempat.

Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada institusi tahfiz itu, selain mengagihkan sumbangan kit makanan kepada warga emas.

Menurut Ahmad Zahid, aktiviti tersebut merupakan antara yang dirangka pihaknya bersama komuniti motosikal menjelang ketibaan Ramadan tidak lama lagi.

“Ini merupakan satu erti atau manifestasi keprihatinan untuk mencari keredaan Allah SWT agar kumpulan-kumpulan sasaran seperti anak yatim, pelajar pondok dan juga ibu-ibu tunggal serta mereka yang memerlukan disantuni dengan sebaiknya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

377
Kongsi :
Previous post SELEWENG DANA PELABURAN HAMPIR RM300 JUTA: SPRM BUKA DUA KERTAS SIASATAN
Next post MELAKA SAHUT SARANAN TPM MENDATANGANI RAMADAN DENGAN SANTUNAN KASIH RAKYAT