Sorting by

×

TPM SANTUNI ANAK YATIM KAYFAZ

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BUKIT KATIL 24 Januari – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa menyantuni anak-anak yatim di bawah Kompleks Anak Yatim/ Miskin Fatimah Al- Zaharah (KAYFAZ), di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang menunggang motosikal berkuasa tinggi bersama-sama kira-kira 50 peserta konvoi tiba di kompleks anak yatim berkenaan kira-kira jam 11.23 pagi.

Ahmad Zahid dalam ucapannya menegaskan bahawa aktiviti menyantuni anak yatim, berinfaq dan bersedekah perlulah dijadikan amalan di seluruh negara, di mana ia bukanlah diukur berdasarkan jumlah sumbangan yang diberikan, sebaliknya keberkatan yang Allah SWT limpahkan kepada pemberi.

“Menyantuni anak yatim bukan soal jumlah yang besar, tetapi keberkatan yang Allah SWT turunkan. Rezeki yang sedikit tetapi berkat jauh lebih bernilai berbanding harta yang banyak tanpa barakah,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Pelajar KAYFAZ.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin dan Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Turut hadir, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan kit makanan keperluan asas kepada 38 penghuni KAYFAZ yang merupakan institusi di bawah MAIM.

Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan bahawa doa anak yatim tidak mempunyai hijab dan mudah dimakbulkan Allah SWT.

Ujarnya, masyarakat khususnya pemimpin digesa agar sentiasa mengambil berat kebajikan golongan berkenaan serta tidak meminggirkan mereka.

“Jawatan adalah amanah dan nikmat juga merupakan ujian. Keselamatan di dunia dan akhirat bergantung kepada sejauh mana kita menjaga amanah yang diberikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

277
Kongsi :
Previous post MELAKA SAHUT SARANAN TPM MENDATANGANI RAMADAN DENGAN SANTUNAN KASIH RAKYAT
Next post MELAKA MAHU WUJUDKAN BANDAR LESTARI, MANFAAT TEKNOLOGI ‘LID’ KURANGKAN RISIKO BANJIR KILAT