Sorting by

×

TRADISI LIMAU MANDARIN KUKUHKAN SILATURAHIM DI MASJID TANAH

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

LENDU 14 Februari – Sekotak limau mandarin sebagai tanda ingatan mencipta suasana penuh muhibah di Pekan Masjid Tanah.

Inisiatif itu dicetuskan menerusi Program Menyantuni Peniaga Berketurunan Tionghua yang bakal meraikan sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Tanda persahabatan, muafakat dan kesepakatan antara kaum Jelas terpancar apabila setiap kotak limau mandarin yang dihulurkan dibalas dengan senyuman yang penuh dengan keikhlasan.

Program berlangsung selama dua jam bermula 4 petang tadi, melibatkan 30 sukarelawan termasuk kakitangan Japerun Lendu dan diketuai Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Img 20260214 wa0020

ABDUL Hakim menyantuni peniaga berketurunan Tionghua di Pekan Masjid Tanah.

Abdul Hakim berkata, meskipun berbahang akibat cuaca panas dan berjalan sejauh hampir dua kilometer, ia tidak mematahkan semangat sukarelawan yang membawa mesej perpaduan dan meraikan masyarakat Tionghua yang bakal menyambut Tahun Baharu Cina.

“Agihan limau ini adalah tanda ingatan daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di mana ia melambangkan semangat ‘Melaka Sayang Rakyat’  (MeSRa) dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat menerusi pembangunan yang terancang dan inklusif.

“Memang tidak dinafikan program ini berlangsung dalam suasana meriah, kita meraikan mereka yang akan menyambut Tahun Baharu Cina, malah saya sendiri menggunakan kesempatan yang ada untuk menyantuni rakan sekolah dan kenalan melibatkan pelbagai lapisan usia.

“Sudah menjadi tradisi bagi barisan pemimpin di Masjid Tanah untuk turun padang bagi menyantuni kira-kira 200 peniaga berketurunan Cina setiap kali menjelang tahun baharu,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Hadir sama Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Cina Kepada Ketua Menteri Yong Fun Juan dan Pengerusi MCA Masjid Tanah, Hee Kuang How.

Abdul Hakim berkata,  sepanjang program itu lebih 200 kotak Limau diagihkan dan bukan sahaja kepada masyarakat Cina tetapi turut melibatkan kaum lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3325
Kongsi :
Previous post MELAKA PILIHAN PEMAJU HARTANAH
Next post BAWA SUARA, PERJUANG HAK OKU MELAKA