Sorting by

×

TRAFIK LEBIH LANCAR DI BAZAR KLEBANG TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KLEBANG 23 Februari – Masalah kesesakan trafik yang sering berlaku di sekitar Pantai Klebang setiap kali penganjuran Bazar Aidilfitri kini telah berakhir selepas beberapa pembaharuan dilakukan Kerajaan Negeri.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, usaha itu antaranya disebebkan pengenalan tempoh percubaan ‘No Right Turn’ di persimpangan Dataran Klebang yang telah bermula 27 Januari lalu.

Jelas beliau, inisiatif itu, di samping pengenalan kawasan parkir lebih luas dan sistematik telah berjaya membantu penguraian trafik lebih lancar di kawasan berkenaan pada tahun ini.

“Alhamdulillah walaupun pada hujung minggu kita dapati keadaan trafik di kawasan ini semakin baik dan lancar dan ini adalah usaha yang kita lakukan daripada pemerhatian tahun-tahun sebelum ini.

“Apabila masalah ini selesai, pengunjung juga selesa untuk membeli-belah dan hasilnya, saya dimaklumkan sambutan yang diterima amat baik pada tahun ini, di mana ia bukan sahaja membabitkan pengunjung dari Melaka, bahkan luar Melaka juga turut membanjiri bazar ini sempena cuti panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin menyantuni peniaga dan pengunjung Glaz Bazar Klebang, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff; Penganjur Glam Bazar Klebang Abdul Rashid Omar serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Shadan turut mengingatkan peniaga-peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri di bawah pentadbiran MBMB agar sentiasa memastikan aspek kebersihan diberi keutamaan sepanjang beroperasi.

“Pada masa sama, saya berharap peniaga juga patuh kepada peraturan yang digariskan, selain dapat memastikan harga jualan tidaklah terlalu mahal supaya dapat menarik lebih ramai pengunjung dan pembeli,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

393
Kongsi :
Previous post PENDIKA, 3 NGO KONGSI REZEKI BUBUR LAMBUK ESOK
Next post INOVASI SAWIT KURANGKAN PENCEMARAN, POTENSI PEKEBUN KECIL JANA PENDAPATAN