
TRANSFORMASI DIGITAL LPM, PERCEPAT PERMOHONAN BELI RUMAH IDAMAN
AYER KEROH 8 Jun – Lembaga Perumahan Melaka (LPM) sedang menambah baik sistem permohonan Rumah Mampu Milik (RMM) secara digital sebagai langkah mempercepatkan akses rakyat kepada kediaman yang berkualiti dan mampu milik.
Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin berkata, penambahbaikan sistem digital ini merupakan antara inisiatif terpenting selaras dengan arahan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam usaha memodenkan urusan perumahan rakyat.
“Sistem baharu ini bukan sahaja akan memudahkan urusan permohonan, malah membolehkan semakan status dan penawaran rumah dibuat dengan lebih pantas, telus dan mesra pengguna.
“Sistem yang ditambah baik ini akan dilengkapi pangkalan data bersepadu, membolehkan proses penilaian dan agihan rumah dibuat secara lebih efisien serta bersasar.
“Ini akan meminimumkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 mendapatkan rumah idaman mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, TPr. Murad berkata, LPM turut memperkukuh kerjasama dengan pemaju dan agensi teknikal bagi memastikan projek perumahan disiapkan mengikut jadual.
“Usaha ini bagi memperketatkan kawalan mutu pembinaan agar setiap rumah yang ditawarkan memenuhi piawaian dan selesa didiami.
“LPM komited untuk terus memacu transformasi digital dalam sektor perumahan demi memastikan tiada rakyat Melaka yang tercicir daripada akses kepada rumah mampu milik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.