Sorting by

×

TRANSFORMASI PANTAI TANJUNG BIDARA BERI MANFAAT KEPADA RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

TANJUNG BIDARA 4 Julai – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, turun padang bagi meninjau sendiri perkembangan terkini perancangan pembinaan litar sukan kereta kawalan jauh (RC) bertaraf antarabangsa di pantai peranginan Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Kata Ketua Menteri, lawatan turun padang berkenaan juga bertujuan untuk memastikan semua perancangan berjalan lancar dan memberikan manfaat kepada penduduk sekitar kawasan peranginan itu.

Menurut Ketua Menteri lagi, selain litar RC pusat peranginan itu akan berwajah baharu menerusi pembinaan medan selera dilengkapi 13 gerai bagi menggantikan tapak perniagaan sedia ada.

“Bukan sekadar litar RC tetapi kemudahan ini akan menjadi platform riadah dan sukan kreatif yang semakin digemari oleh anak-anak muda kita.

“Sementara itu pembinaan medan selera menjadi pelengkap kepada litar RC pula akan memberi lebih keselesaan dan peluang rezeki untuk penjaja tempatan serta dan usahawan kecil,” kata Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Pada lawatan itu Ketua Menteri turut diiringi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Tegas beliau, Kerajaan Negeri mahu memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan bukan sekadar cantik dan kukuh, tapi memberikan manfaat langsung kepada rakyat.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, turut menyatakan keyakinan Pantai Tanjung Bidara bakal menjadi tumpuan pelancong, memberi manfaat kepada ekonomi setempat dan memberi kesejahteraan kepada semua.

“Insya-Allah, saya akan terus turun padang seperti ini bukan tunggu laporan sahaja kerana saya mahu pastikan setiap sen yang dibelanjakan benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2418
Kongsi :
Previous post JPS LAKSANAKAN LANGKAH SEGERA KURANGKAN RISIKO BANJIR KAMPUNG LUBOK KASAU
Next post 10,000 MERIAHKAN MALAM GALA RENTAK BERTANDAK ANTARABANGSA