Sorting by

×

TRANSFORMASI UNIMEL PACU KECEMERLANGAN GRADUAN

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 1 Disember – Transformasi positif Universiti Islam Melaka (UNIMEL) dalam menjadi sebuah universiti unggul yang berupaya melahirkan graduan berkualiti semakin dirasai.

Perkara itu diakui graduan universiti berkenaan yang sangat berpuas hati dengan fasiliti serta pentadbiran UNIMEL yang disifatkan sudah jauh berubah.

Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan Islam UNIMEL, Ahmad Afiq Hamdan, 26, perubahan itu jelas ketara sejak dia mula melanjutkan pengajian di peringkat diploma hinggalah ijazah.

“Saya memulakan pengajian diploma di sini yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) dan kini menamatkan pengajian ijazah sarjana muda di juga di sini yang kini dikenali sebagai UNIMEL.

“Saya sapat melihat perubahan itu daripada tiada kolej kediaman sendiri sehinggalah mempunyai kolej kediaman dan perkembangan dan peningkatan fasiliti juga amat bagus,” kata anak jati Bukit Baru itu kepada Melaka Hari Ini.

Ahmad Afiq merupakan penerima Anugerah Ketua Menteri pada Istiadat Konvokesyen UNIMEL Ke-27 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Anugerah itu diberikan kepada pelajar cemerlang yang menunjukkan penglibatan aktif dalam komuniti, tanggungjawab sosial korporat, kebajikan atau projek sosial yang memberi impak signifikan kepada masyarakat atau institusi.

6154175428202007526
FATIMAH Az’zahra dipeluk ahli keluarganya selepas menerima Anugerah Naib Canselor (ANC) pada Istiadat Konvokesyen UNIMEL Ke-27. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Sementara itu, Fatimah Az’zahra Fakhrul Azman, 21, turut senada apabila menyifatkan UNIMEL sebagai sebuah universiti serba lengkap dan berada di kelas tersendiri.

Dia yang merupakan penerima Anugerah Naib Canselor (ANC) pada istiadat berkenaan bersyukur kerana banyak dibantu pensyarah-pensyarah berkaliber sepanjang menuntut dalam jurusan Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat di universiti berkenaan.

“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana mempermudah urusan pembelajaran saya di sini sehinggalah saya dipilih menerima anugerah yang cukup berharga ini.

“Selain keluarga, para pensyarah banyak membantu saya sejak awal hinggalah tamat pengajian di sini,” katanya yang turut bercita-cita untuk bergelar tenaga pengajar di UNIMEL suatu hari nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

190
Kongsi :
Previous post H.E.R.O JADI TARIKAN MAJIKAN: GRADUAN UNIMEL TERUS JADI PILIHAN INDUSTRI