
TRANSFORMASI PASAR MALAM SUNGAI UDANG
SUNGAI UDANG 30 Mei – Pengusaha pasar malam sekitar Sungai Udang dicadangkan untuk menyertai Program Transformasi Pasar Malam, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Rais berkata, cadangan itu akan diangkat selepas pasar malam di Bertam dan Duyong terpilih untuk melaksanakan program terbabit.
Katanya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mengangkat permohonan berhubung cadangan itu kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“MBMB akan menghantar permohonan dan mengenal pasti tapak pasar malam yang sesuai dalam DUN Sungai Udang ini.
“Ramai dalam kalangan peniaga pasar malam ini golongan Bumiputera, jadi mungkin inisiatif ini dapat menarik penduduk atau pengunjung datang ke pasar malam terpilih itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Menyampaikan Lesen Penjaja kepada peniaga sekitar di Taman Terendak Permai, di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman dan kenamaan lain.
Untuk rekod, inisiatif Transformasi Pasar Malam merupakan kaedah peniaga pasar malam ke arah lebih tersusun dan teratur.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.