Sorting by

×

TUAH NURUL AINI BAWA PULANG ‘ADIK SADO’

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 30 Jun – Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam layak dianggap pengunjung paling bertuah di Melaka Agrofest 2025 apabila berjaya membawa pulang seekor anak lembu sado bernilai RM13,000.

Hadiah istimewa itu menjadi milik Nurul Aini Kamar Bahrin, 23, selepas namanya dipilih sebagai pemenang cabutan bertuah utama karnival tahunan yang berlangsung selama tiga hari di Dataran Sejarah Ayer Keroh.

Gadis yang menetap di Jasin itu menyifatkan kemenangannya sebagai satu tuah dan tidak menyangka akan memenangi hadiah cukup istimewa dalam hidupnya.

Dia yang menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Kejuruteraan Petroleum berkata, kedatangannya bersama ahli keluarga adalah untuk bersantai dan melihat pelbagai jualan produk agro pada karnival tersebut dan tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menang.

“Saya datang pada hari pertama dan datang lagi hari terakhir sebab rasa seronok dengan suasana di sini. Memang saya ada niat nak menang tetapi tak sangka rezeki berpihak kepada saya memandangkan ramai lagi pengunjung yang turut serta.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang pemenang, lebih-lebih lagi hadiahnya berupa seekor anak lembu sado yang harganya mencecah RM13,000,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berkenaan.

Hadiah cabutan bertuah utama itu telah disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Nurul Aini berkata dia tidak bercadang untuk menjual lembu berkenaan, sebaliknya akan membela haiwan tersebut di ladang ternakan yang diusahakan abang iparnya.

“Abang ipar saya memang penternak lembu, jadi sedikit sebanyak saya sudah ada pendedahan dan minat terhadap ternakan.

“Saya akan pelihara lembu ini dan akan beri nama padanya, tapi setakat ini saya panggil lembu ini ‘Adik Sado’,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1207
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI ARAH SEMUA AGENSI GEMBLENG TENAGA BANTU MANGSA RIBUT DI MELAKA
Next post HARI KELUARGA KOTA MELAKA BAKAL JADI ACARA TAHUNAN