
TUAN RUMAH WTD 2025, MELAKA SIMBOL WARISAN DUNIA
BANDA HILIR 27 September – Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 bertepatan kerana negeri ini menjadi pusat pertemuan masyarakat, barangan dan budaya sejak abad ke-15.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Melaka melambangkan negara yang mengekalkan warisan silam sambil melangkah maju dengan pembangunan moden.
“Melaka berdiri di persimpangan sejarah dan kemodenan, melambangkan Malaysia yang mengekalkan warisan silam sambil terus maju,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Perasmian WTD dan WTC 2025 di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta Setiausaha Agung Pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Tourism) Zurab Pololikashvili.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Rahman Abdul Razak; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia kini memberi fokus kepada segmen pelancongan bernilai tinggi termasuk ekopelancongan, pelancongan lasak, mesra Muslim, kesihatan dan perubatan, pendidikan, acara perniagaan serta hab nomad digital.
“Nilai-nilai Malaysia MADANI seperti kelestarian, kepedulian, hormat, inovasi, kemakmuran dan kepercayaan menjadi asas strategi pembangunan pelancongan negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.