
TUN DR. MOHD ALI TERIMA ANUGERAH TOKOH SUKAN NEGARA
AYER KEROH 13 Mei – Kecemerlangan kepimpinan khususnya dalam sukan seni mempertahankan diri melayakkan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, menerima pengiktirafan Anugerah Tokoh Sukan Negara pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024.
Lebih istimewa apabila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan menyampaikan anugerah itu kepada Tun Dr. Mohd Ali pada majlis berprestij yang berlangsung di sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor, hari ini.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam berkata Kerajaan Negeri menzahirkan rasa bangga dan bertuah atas pemilihan Tun Dr. Mohd Ali sebagai penerima pengiktirafan berprestij itu.
“Sumbangan Tun Dr. Mohd Ali dalam sukan seni mempertahankan diri tidak disangkal lagi, kecemerlangan kepimpinan beliau memacu Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dan Persatuan Silat Malaysia (PESAKA) hingga lebih dikenali di peringkat antarabangsa.
“Selain itu Tun Dr. Mohd Ali juga menerajui MAKAF selama 13 tahun dan kini dilantik sebagai penaung badan induk itu. Sementara itu di peringkat antarabangsa, Tun Dr. Mohd Ali turut diangkat sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Karate Dunia (WKF),” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Shanmugam berkata di bawah kepimpinan Tun Dr. Mohd Ali juga, pelbagai kejayaan diraih skuad karate negara.
“Beberapa kali negara meraih pingat emas menerusi skuad karate pada temasya sukan bertaraf antarabangsa. Tun Dr. Mohd Ali turut memainkan peranan besar buat PESAKA apabila beberapa atlet merangkul gelaran juara peringkat dunia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.