
TVET PEMANGKIN EKONOMI SERANTAU
BANDARAYA MELAKA 11 Jun – Dialog Dasar Serantau Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ASEAN Ke-4 (RPD Ke-4 ATC) mengangkat dan memperkukuh peranan TVET sebagai bidang pilihan masa hadapan selain menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi serantau.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sesi dialog yang berlangsung selama dua hari (11 dan 12 Jun) bertunjangkan kepada membina ekosistem TVET di seluruh ASEAN.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata sesi dialog itu menekankan tiga pemangkin asas iaitu pendidikan dan latihan berkesan; memenuhi keperluan industri terhadap tenaga kerja mahir serta meningkatkan taraf sosio ekonomi.
“Dialog bersempena Hari TVET Negara 2025 ini bertujuan membina ekosistem TVET di negara-negara ASEAN yang mana terdapat tiga objektif mahu dicapai, pertama perlu meluaskan akses kepada komuniti luar bandar, terutama golongan belia.
“Kedua, ASEAN mesti menutup jurang kemahiran melalui industri yang diterajui, latihan yang didorong seiring permintaan sekali gus membuka peluang pekerjaan merentas sempadan.
“Ketiga, kita mesti membina TVET sebagai ekosistem penuh iaitu menyelaraskan pendidikan, industri, infrastruktu, pensijilan serta akses digital yang mana semuanya akan diselaraskan oleh Majis TVET ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Ucaptama seterusnya menyempurnakan Dialog Dasar Serantau Majlis TVET ASEAN ke-4 dengan tema ‘TVET untuk Kemajuan Luar Bandar dan Serantau’ di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, barisan Exco, Timbalan Exco, serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata sesi dialog itu menampilkan 29 panel daripada negara-negara ASEAN; Australia dan UNESCO yang dilaksana secara hybrid membabitkan 300 peserta secara dalam talian dan fizikal.
“Selain itu, sesi dialog ini juga bertujuan menggalakkan kerjasama serantau, perkongsian ilmu serta perbincangan strategik mengenai peranan TVET sebagai pemangkin transformasi sosioekonomi luar bandar dan komuniti kurang mendapat perhatian.
“Hasil dialog ini dijangka menghasilkan cadangan dan rumusan praktikal untuk menyokong pembangunan dan penyelarasan sistem TVET negara dengan aspirasi serantau seterusnya memperkukuh peranan Majlis TVET ASEAN sebagai platform utama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.