Sorting by

×

TVET UBAH NASIB MOHAMAD HANAPIAH

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 12 Jun – Tidak cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan noktah akhir kehidupan, sebaliknya ia boleh menjadi satu permulaan untuk mengubah nasib diri menjadi insan berjaya.

Begitulah prinsip hidup dipegang Mohamad Hanapiah Mat Jusop, 52, seorang bapa tiga anak yang membuktikan bahawa pendidikan adalah satu perjalanan seumur hidup, bukan satu destinasi.

Hanapiah memulakan langkahnya dalam dunia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seawal usia remaja, selepas menerima keputusan SPM yang kurang memberangsangkan.

Dia menyambung pelajaran di Institut Kemahiran MARA (IKM) Lumut pada tahun 1988, sebelum meneruskan pengajian ke Giat MARA Petaling Jaya dan seterusnya German-Malaysian Institute (GMI) dalam bidang mekatronik.

“Saya tidak berhenti belajar setakat itu sahaja, kemudian sambung ijazah di Open University dan pada 2014 saya teruskan ke peringkat sarjana di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Alhamdulillah, saya dinobatkan sebagai ‘Best Student of the Year’, rentetan kejayaan ini membuka peluang lebih besar kepada saya melanjutkan pengajian semasa sesi pertukaran pelajar ke Meiji University di Jepun pada 2016,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Kini, Mohamad Hanapiah masih tekun menimba ilmu dalam pengajian PhD dalam bidang Sains Sosial di Open University Malaysia (OUM), Melaka, sambil menyandang jawatan ‘Head of Plan’ di sebuah syarikat automotif.

“Saya mula belajar sambil bekerja sejak 2006. Ia bukan mudah, tetapi bila ada matlamat dan semangat untuk ubah hidup, semuanya boleh.

“Sebagai anak kedua daripada tiga beradik, saya akui bahawa dorongan ibu untuk mencapai pendidikan tertinggi menjadi semangat utama. Hari ini, sebagai seorang bapa, saya ingin memberi peluang yang sama kepada anak-anak.

“Saya tidak paksa anak ikut jejak saya. Yang penting kita fahamkan dia dulu apa yang dia minat dan berikan pendedahan awal,” katanya.

Baginya, bidang TVET hari ini bukan lagi pilihan terakhir, ia adalah laluan yang terbukti berkesan yang bukan hanya membina kemahiran, malah membuka peluang ke menara gading dan kepimpinan.

“TVET bukan lagi pilihan kedua, harap masyarakat lebih terbuka terhadap laluan alternatif dalam pendidikan, terutama kepada generasi muda yang mungkin tidak menyerlah dalam akademik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5390
Kongsi :
Previous post KOMITMEN PERSEKUTUAN DAN NEGERI PERKUKUH AGENDA PEMBANGUNAN MELAKA
Next post MBMB LAKUKAN KAJIAN DI BEBERAPA LOKASI ATASI KESESAKAN