Sorting by

×

TYT BERBUKA PUASA BERSAMA WARGA AYER LIMAU, IMARAH 2 MASJID

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER LIMAU 2 Mac – Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam menyerikan Majlis Berbuka Puasa bersama masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Masjid Al-Muhtadi Ramuan China Besar, di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Tun Dr. Mohd Ali turut menyampaikan sumbangan kepada 150 penerima kurang berkemampuan sebagai usaha meringankan beban mereka sepanjang Ramadan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, ini merupakan kehadiran kali kelima berturut-turut Yang di-Pertua Negeri berbuka puasa bersama warga DUN Ayer Limau.

Menurutnya, kesudian Tun Dr. Mohd Ali meluangkan masa berbuka dan menunaikan solat tarawih bersama penduduk setempat amat bermakna serta menyuntik semangat kepada masyarakat.

“Tahun ini kita merancang untuk mengimarahkan dua masjid dalam satu hari iaitu Majlis Berbuka Puasa di Masjid Al-Muhtadi, Ramuan China Besar dan solat tarawih di Masjid An-Namirah, Felcra Ramuan China.

“Lebih istimewa apabila Tun Dr. Mohd Ali berbesar hati menyertai kedua-dua program yang telah dirancang,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Turut hadir, Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim; Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia (TM) Amar Huzaimi Md Deris serta lain-lain kenamaan.

Img 20260302 225101 201
TUN Dr. Mohd Ali bersama Hameed dan kenamaan menunaikan solat maghrib di Masjid Al-Muhtadi, Ramuan China Besar. Foto Afiq Mustaffa

Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri berkata, majlis berbuka puasa itu merupakan hasil kerjasama antara DUN Ayer Limau dan TM.

Jelasnya, sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban penerima dalam menghadapi Ramadan serta menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada TM atas sumbangan RM15,000 menerusi zakat wakalah yang kemudiannya diagihkan kepada penduduk Ayer Limau yang kurang berkemampuan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

435
Kongsi :
Previous post RAMADAN TIDAK HALANG KETUA MENTERI TURUN PADANG SANTUNI MASALAH RAKYAT