Sorting by

×

TYT LANCAR TENAGA GIG MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BUKIT KATIL 24 Februari – Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam melancarkan Pertubuhan Tenaga Gig Melaka (Tenaga Gig Melaka) pada Program Agihan Bubur Lambuk Ramadan di Masjid Sayyidina Ali, di sini, hari ini.

Pelancaran Tenaga Gig Melaka itu menjadi platform rasmi bagi menyatukan komuniti tenaga gig termasuk pengamal media, penghantar makanan, pemandu e-hailing dan pekerja bebas lain dalam usaha menjaga kebajikan serta kepentingan golongan tersebut.

Program berkenaan turut menyaksikan Tun Dr. Mohd Ali mengagihkan bubur lambuk kepada 50 penghantar makanan sebagai simbol kebersamaan, keprihatinan serta semangat Ramadan yang menyatukan masyarakat.

Difahamkan, kesemua penghantar makanan termasuk dua pemandu e-hailing itu turut sama membantu mengagihkan lebih 3,000 bubur lambuk yang dimasak pada program tersebut kepada masyarakat setempat.

Pelancaran Tenaga Gig Melaka pada program menyatukan komuniti itu dilihat sebagai langkah penting dalam memperkasa ekosistem ekonomi gig negeri ini, selari dengan aspirasi Melaka sebagai negeri progresif dan inklusif.

Program yang bermula seawal jam 11 pagi itu turut menyaksikan Pengerusi World Youth Foundation (WYF), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali menyempurnakan gimik pelancaran memasak bubur lambuk dengan dibantu sukarelawan terdiri daripada pelajar Kolej Komuniti Jasin.

Penganjuran program di bawah kelolaan Pengamal Media Melaka (PENDIKA) itu turut mendapat sokongan daripada WYF, Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (LEAD Malaysia) dan Pertubuhan Tenaga Gig Melaka.

Turut hadir pada program tersebut, Pengerusi PENDIKA Amir Mamat; Presiden LEAD Abdul Hakim Abdul Rani; Presiden Tenaga GiG Melaka Amelia Tamby dan Pengarah Kolej Komuniti Jasin Mohd Kelana Juid dan kenamaan lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

349
Kongsi :
Previous post MAIM, YB ALONG SANTUNI 100 PESAKIT DI HOSPITAL ALOR GAJAH
Next post MELAKA NEGERI KEDUA TERBAIK INDEKS PERPADUAN RAKYAT