
TYT SEMPURNAKAN PENUTUP TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN MELAKA 1447H/2026
BUKIT PALAH 25 Januari – Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat Negeri Melaka 1447H/2026 yang berlangsung di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini, malam tadi.
Pada majlis terbabit beliau turut menyampaikan hadiah kemenangan kepada kesemua pemenang.
Turut mengiringi menyampaikan hadiah kemenangan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Khairul Azreem Mamat; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samad serta lain-lain kenamaan.
Majlis berprestij secara tahunan itu diadakan bagi memilih peserta terbaik dalam bidang tilawah dan hafazan al-Quran bagi mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan pada April depan di Terengganu.
Untuk rekod, pada tahun ini seramai 46 orang peserta telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir negeri terdiri daripada 21 peserta Tilawah Al-Quran dan 25 peserta Hafazan Al-Quran yang melibatkan tiga
kategori iaitu; kategori 1 hingga 10 juzuk, 1 hingga 20 juzuk serta 1 hingga 30 juzuk.
Kerajaan Negeri pada tahun ini turut mengekalkan hadiah kemenangan tambahan sebagai galakan dan penghargaan kepada pemenang yang mana ia merangkumi pemberian pakej umrah bernilai RM10,000 kepada johan qari dan qariah Tilawah Al-Quran
dan Hafazan bagi kategori 1 hingga 30 juzuk, serta pakej kembara ilmiah kepada pemenang kategori lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

