Sorting by

×

UITM CAWANGAN MELAKA DILANTIK NAZIR KHAS DANA WAKAF PENDIDIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

PENGKALAN BATU 23 Mei – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka melakar sejarah apabila menjadi kampus pertama dalam rangkaian UiTM yang dilantik secara rasmi sebagai nazir khas (mutawalli) bagi Dana Wakaf Pendidikan UiTM.

Menerusi kenyataan dikeluarkan universiti itu, pelantikan UiTM Cawangan Melaka sebagai nazir khas Dana Wakaf Pendidikan UiTM dimeterai melalui Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Pusat Islam Melaka.

Pelantikan itu secara tidak langsung mengiktiraf peranan kepimpinan UiTM Cawangan Melaka dalam memperkasakan pengurusan wakaf pendidikan secara sistematik, sekali gus mengukuhkan sumbangannya dalam pembangunan ilmu dan komuniti berteraskan nilai-nilai Islam.

MoA tersebut ditandatangani oleh Rektor UiTM Melaka, Profesor Datuk Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini dan Setiausaha MAIM Shaifulfazee Mohammad sambil disaksikan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Rahmad Mariman.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, Prof. Madya Dr. Nur Hayati Abd Rahman; Pengarah Bahagian Zakat, Wakaf dan Sedekah, Prof. Madya Dr. Najahudin Lateh; Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis serta lain-lain kenamaan.

Jelas kenyataan tersebut, Dana Wakaf Pendidikan itu membolehkan pelbagai pihak termasuk staf, pelajar, alumni, syarikat dan orang awam menyumbang harta atau wang tunai bagi menyokong pendidikan dan kesarjanaan di UiTM Cawangan Melaka.

Malah, UiTM Melaka diberi kepercayaan oleh MAIM untuk bekerjasama dalam penyelidikan tadbir urus hal ehwal Islam di Melaka, menjadikan universiti itu sebagai rakan strategik dalam pembangunan wakaf.

“Kerjasama ini menjadi contoh terbaik kolaborasi antara universiti dan agensi agama negeri dalam memperkasakan wakaf untuk pendidikan dan kesejahteraan masyarakat,” kata kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

630
Kongsi :
Previous post MURAL SIMBOLIK KEAGUNGAN SEJARAH MELAKA
Next post BERITA GEMBIRA BUAT WARGA SMK GHAFAR BABA