Sorting by

×

UITM MELAKA KOMITED LAHIRKAN GRADUAN BERJIWA USAHAWAN

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

LENDU 18 Januari – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka terus memperkukuh komitmennya dalam melahirkan graduan berdaya saing dan berjiwa usahawan menerusi penganjuran Big Boss Carnival 2026, sebuah karnival keusahawanan serta inovasi berskala besar, baru-baru ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Melaka merangkap Ketua Projek Big Boss Carnival 2026, Siti Nazirah Omar berkata, program itu menjadi menjadi platform strategik bagi mendedahkan pelajar kepada realiti dunia perniagaan sebenar, sekali gus menghubungkan pembelajaran akademik dengan keperluan industri serta keusahawanan semasa.

Katanya, bertemakan ‘Lead the Business. Own the Future’, karnival tersebut menghimpunkan pelajar, usahawan muda, pemain industri, alumni serta masyarakat umum dalam usaha memperkasa budaya keusahawanan, meningkatkan literasi kewangan dan membina jaringan strategik merentas generasi.

“Sepanjang dua hari penganjuran, pengunjung disajikan dengan pelbagai pengisian menarik antaranya pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi perniagaan baharu secara percuma, edaran 400 pek cenderahati eksklusif sumbangan SSM serta cabutan bertuah dengan hadiah menarik.

“Lebih istimewanya, sebanyak 200 reruai pelajar kursus perniagaan turut mempamerkan idea dan produk keusahawanan, di samping penyertaan 20 kaunter pameran industri luar yang berperanan sebagai jambatan kerjasama antara UiTM dan industri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Img 20260118 wa0005
PROGRAM Big Boss Carnival memperkukuh komitmen UiTM Melaka lahirkan graduan berjiwa usahawan.

Mengulas lanjut, Siti Nazirah memaklumkan program terbabit telah dirasmikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UiTM Melaka, Dr. Mohamad Nor Afandi Ibrahim sebagai simbol sokongan berterusan universiti terhadap agenda pembangunan graduan berorientasikan keusahawanan.

Tambahnya, pada program itu pengunjung turut mendapatkan pelbagai produk kraftangan tempatan dan menerima edaran 100 pek mee segera secara percuma serta menikmati diskaun khas pendaftaran internet daripada Telekom Malaysia (TM) buat warga UiTM.

“Big Boss Carnival 2026 turut dimeriahkan dengan sesi perkongsian industri dan alumni merangkumi topik pengurusan kewangan, kepimpinan, inovasi serta perkongsian pengalaman membina perniagaan daripada peringkat kampus hingga ke pasaran global.

“Program ini bukan sekadar acara tahunan, malah berfungsi sebagai ekosistem pembelajaran sebenar yang memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi dan sosial setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

340
Kongsi :
Previous post JOM JADI ‘ZOOKEEPER’ SEHARI DI ZOO MELAKA
Next post RANCAKKAN PROMOSI, BANTU CENDERAMATA MELAKA TERUS ‘HIDUP’