Sorting by

×

UMNO MELAKA BAWA SUARA RAKYAT, ZAHIR KOMITMEN HADAPI PRU KE-16

Masa Membaca:2 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 18 Januari – UMNO Melaka bertekad mahu terus menjadi parti dominan yang membawa suara dan aspirasi rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

‘Suara’ Melaka itu dibawakan Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri Melaka yang juga wakil pembahas Melaka pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 Datuk Mustafa Musa yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam.

Mustafa dalam ucapannya menggariskan beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian sebagai langkah kesiapsiagaan dan gerak kerja parti menjelang pilihan raya.

Menurut beliau, perkara pertama yang perlu diberi perhatian adalah menawan hati anak muda, memandangkan semua perlu menerima hakikat bahawa pada dua PRU yang lalu, anak muda menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, anak muda masa kini tidak lagi bernostalgia dengan sejarah, mahupun bertanya parti mana lebih kuat, sebaliknya mereka lebih melihat kepada realiti dan masa depan, termasuk tawaran yang diberikan kepada mereka.

Justeru, ujar beliau, UMNO perlu merebut peluang dengan menawarkan politik yang telus, relevan dan mencari solusi, termasuklah menghargai cadangan anak muda.

Selain itu, Mustafa berkata, UMNO juga perlu berubah daripada kaedah konvensional kepada penggunaan digital dan teknologi dengan memanfaatkan media sosial yang bakal mencetuskan ‘perang’ paling dahsyat pada PRU dan PRN 16.

Ke arah menjadi parti moden yang mengupayakan setiap ruang dan peluang, beliau memaklumkan Melaka telah mengorak langkah membentuk Jalinan Rakyat (JR) Digital Dan Pendigitalan UMNO bagi menyantuni pengundi muda dan bersaing dalam media sosial.

“Hari ini, naratifnya berbeza. Pengundi banyak pilihan dan ada yang terkeliru antara fitnah dan kebenaran. Kita hanya boleh mempengaruhi mereka melalui media sosial dan dunia digital kerana kelompok pengundi muda kesemuanya bergantung kepada maklumat dan pengaruh dunia digital,” katanya.

Menurut beliau, fokus seterusnya adalah memperkukuh jentera parti, di mana kemenangan calon bermula di Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Atas faktor itu, ujar beliau, semua jentera perlu berjalan seiring dan strategi bertahan tidak lagi boleh digunakan, sebaliknya perku terus melancarkan serangan balas untuk mempertahankan parti.

“Pada masa sama, UMNO juga perlu menawarkan naratif baharu, umpamanya, UMNO membela rakyat; UMNO menjaga kestabilan’ UMNO berani menegur dan memperbetulkan; Pemimpin UMNO perlu bekerja untuk rakyat dan UMNO Rumah Bangsa umat Melayu.

“UMNO perlu bersedia sepanjang masa dan turun ke bawah tanpa menunggu musim pilihan raya. Selain itu, ego juga mesti dibuang kerana ia hanya akan memecahkan saf perjuangan,” katanya.

Beliau juga meminta semua perwakilan seluruh negara yang hadir mencontohi Kerajaan Negeri Melaka dipimpin UMNO  yang menunjukkan komitmen tinggi turun ke lapangan dan menawarkan lebih 100 inisiatif sentuhan rakyat.

Jelas beliau, ia dapat dilihat menerusi inisiatif Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR); Hari EXCO Bertemu Rakyat (HEBAT); Melaka Sayang Rakyat (MeSRA); No Right Turn dan Car Free Zone; mengutamakan pendidikan rakyat Melaka dan inisiatif kemasukan percuma ke destinasi pelancongan.

“Melaka hanyalah satu contoh yang mungkin sesuai di negeri bersejarah dan setiap negeri lain pastinya mempunyai masalah, naratif dan keperluan berbeza.

“Namun, UMNO setiap negeri perlulah menyusun tawaran-tawaran baharu yang bersesuaian dengan naratif dan keperluan negeri bagi membolehkan UMNO menjadi parti rakyat dan diterima rakyat,” tegasnya.

Dalam pada itu, Mustafa turut menekankan mengenai kepentingan pemilihan calon memandangkan 30 peratus kemenangan bergantung kepada populariti dan kekuatan calon itu sendiri.

Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya untuk UMNO tidak lagi terikat dengan agihan kerusi kepada parti komponen, sebaliknya perlu jujur mengakui suara akar umbi yang menjadi penentu kalah atau menang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

425
Kongsi :
Previous post PARAKOM KENDALIKAN 474 KES KECEMASAN SEPANJANG 2025
Next post HIASAN TAHUN BAHARU CINA BERI LIMPAHAN REZEKI