
UNIMEL DAPAT PUJIAN PELAJAR ANTARABANGSA
AYER KEROH 1 Disember – Melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi di Universiti Islam Melaka (UNIMEL) menjadi pengalaman amat berharga bagi seorang pelajar antarabangsa dari China, yang mengakui bahawa sokongan penuh universiti dan bimbingan penyelia menjadi kunci utama kejayaannya.
Graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan Dr. Zhang Kai, berkata pengalaman menamatkan PhD di UNIMEL selama tiga tahun merupakan antara kenangan manis dan bermakna dalam hidupnya.
Kongsinya, dalam tempoh tersebut, dia berdepan beberapa cabaran antaranya bahasa dan budaya berbeza kerana perbualan harian di China menggunakan Mandarin manakala akademik pula dijalankan dalam Bahasa Inggeris.
“Namun cabaran itu menguatkan lagi semangat untuk saya menamatkan pembelajaran mengikut tempoh yang ditetapkan atas sokongan penyelia, ditambah pula suasana pembelajaran kondusif dan sokongan rakan sekelas membantu menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.
“Segala pengalaman di UNIMEL amat berharga. Semua pengalaman adalah positif. Sokongan dan bimbingan akademik daripada penyelia sangat membantu saya menamatkan pengajian di UNIMEL ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Istiadat Konvokesyen UNIMEL Kali Ke-27 Sidang Pertama di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Istiadat itu telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri merangkap Canselor UNIMEL Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Lebih istimewa, pada istiadat itu Dr. Zhang dianugerahkan Hadiah Munsyi Abdullah yang diberikan kepada pelajar terbaik di peringkat sarjana atau doktor falsafah secara penyelidikan yang menamatkan pengajian dalam tempoh masa ditetapkan.
Dia membawa pulang wang tunai RM1,000, selempang pelajar terbaik dan sijil penghargaan.
Mengulas lanjut, Dr. Zhang yang juga Pensyarah Psikologi Pendidikan di China berkata, sebelum ini dia menamatkan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana di Belanda dan untuk PhD memilih Melaka sebagai destinasi pengajian tertingginya.
“Tesis PhD saya di UNIMEL adalah mengenai ‘Pelaburan Pendidikan di China’, di mana ia meneliti bagaimana pelaburan yang tepat boleh meningkatkan hasil pendidikan melalui pendekatan langsung (hard way) atau sokongan tidak langsung (soft way).
“Pada saya, UNIMEL menyediakan sistem sokongan yang baik untuk pelajar antarabangsa. Saya akan bantu untuk mempromosikan universiti ini kepada rakan-rakan dan pelajar-pelajar saya di China,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

