Sorting by

×

UNIMEL LAHIR GRADUAN HOLISTIK, SEIMBANG DALAM ILMU DAN SAHSIAH

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 30 November – Universiti Islam Melaka (UNIMEL) terus melebarkan sayapnya dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja holistik, malah seimbang dalam ilmu dan sahsiah.

Yang di-Pertua Negeri merangkap Canselor Unimel Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata, graduan yang dilahirkan UNIMEL juga disifatkan kreatif dalam meneroka peluang baharu dengan bakat keusahawanan yang jita, selain berpegang teguh kepada amanah serta integriti.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga melihat pencapaian dan kecemerlangan UNIMEL yang bukan sahaja melahirkan graduan dari dalam kalangan anak muda dalam negara, bahkan buat julung kalinya turut meraikan graduan antarabangsa.

“Pengijazahan kepada 30 graduan antarabangsa sulung dalam bidang pengurusan menjadi bukti bahawa UNIMEL kini berdiri megah di persada dunia.

“Saya percaya kesemua graduan yang diraikan ini merupakan lambang keunggulan akademik UNIMEL, generasi berilmu yang bakal menggalas amanah besar dalam membina masa depan yang lebih gemilang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen UNIMEL Ke-27 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang juga Pro-Canselor UNIMEL; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Naib Canselor UNIMEL Prof. Datuk Ts. Dr. DHc. Abdul Khalil Shawkataly serta lain-lain kenamaan.

Pada istiadat berkenaan, seramai 1,068 graduan telah dirai membabitkan 48 merupakan graduan pasca siswazah yang merangkumi sembilan pelajar tempatan dan 30 pelajar antarabangsa dalam Ijazah Doktor Falsafah (PhD), manakala sembilan lagi merupakan graduan Ijazah Sarjana.

Sementara itu, prasiswazah pula membabitkan seramai 1,020 graduan iaitu 159 pelajar Ijazah Sarjana Muda dan 861 pelajar Diploma.

Dalam pada itu, Tun Dr. Mohd Ali turut menzahirkan harapan agar graduan UNIMEL terus melangkah dengan penuh keyakinan dan membawa nama UNIMEL dengan penuh kebanggaan.

“Pencapaian saudara dan saudari bukan sekadar tanda tamat pengajian, tetapi permulaan tanggungjawab lebih besar kepada masyarakat, negara dan ummah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

776
Kongsi :
Previous post KOLEJ KOMUNITI JASIN PERLUAS PROMOSI TVET-TAHFIZ
Next post KEPIMPINAN BERWIBAWA PERLU DIPERKUKUH SETIAP GRADUAN UNIMEL