
UNIT BERKUDA MBMB JADI IKON PELANCONGAN BAHARU
BANDA HILIR 22 September – Keselamatan pelancong di Banda Hilir kini semakin terjamin selepas Unit Berkuda Pelancongan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) secara rasmi dilancarkan.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, unit berkuda itu akan berfungsi bukan sahaja untuk memastikan keselamatan orang ramai, bahkan menjadi satu lagi tarikan baharu pelancongan.
Menurut beliau, buat masa ini sebanyak dua Unit Berkuda akan ditempatkan di Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir pada setiap malam minggu dan hari kelepasan am, selain dipantau enam pasukan penguatkuasa MBMB.
“Memandangkan Melaka sentiasa menjadi tumpuan pada hujung minggu dan cuti sekolah, MBMB mengambil inisiatif untuk menubuhkan unit berkuda ini bertujuan menjaga keselamatan di kawasan pelancongan.
“Pada masa sama, ia juga boleh menjadi satu tarikan pelancongan baharu di Banda Hilir, di mana orang ramai boleh bergambar kenangan dengan unit berkuda ini dan sekali gus mempromosikan keunikan Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan Program Road To World Tourism Day (WTD) 2025 di Jambatan Tan Kim Seng, di sini, malam tadi.
Menurut Shadan, unit berkuda itu juga dilancarkan bersempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 pada 27 hingga 29 September ini, di mana ia akan ditempatkan di lokasi acara berprestij itu bertujuan menjaga keselamatan tetamu dari 159 buah negara yang hadir.
Pada masa sama, ujar beliau, sepanjang WTD 2025, MBMB juga berperanan memastikan kelancaran lalu lintas, menambah baik aspek keceriaan dan kebersihan di lokasi penganjuran acara pelancongan dunia itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.