Sorting by

×

UPNM BAWA LIMPAHAN MANFAAT UNTUK SK TELOK MAS, SMK TUN TIJAH

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

TELOK MAS 18 Disember – Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Mas dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tijah menerima pelbagai manfaat program dan pembangunan fasiliti selepas dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, di bawah inisiatif tersebut UPNM telah dipertanggungjawab melaksanakan intervensi pembangunan untuk dua buah sekolah angkat dan setiap sekolah menerima peruntukan berjumlah RM100,000.

Beliau berkata, peruntukan tersebut merangkumi penambahbaikan infrastruktur, selain program berbentuk pengukuhan akademik, pembangunan sahsiah serta sokongan kebajikan murid dan guru.

“Antara pencapaian menerusi program ini adalah beberapa ruang pembelajaran serta kemudahan sokongan telah dinaik taraf bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih kondusif, selamat dan menyokong keberkesanan proses pengajaran serta pembelajaran.

“Selain itu, warga sekolah turut mendapat manfaat menerusi program intervensi akademik dan bimbingan murid melalui klinik pembelajaran, bimbingan peperiksaan, program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta modul motivasi telah berjaya menyemarakkan minat belajar termasuk meningkatkan prestasi murid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Sekolah Angkat MADANI 2025 UPNM, di SK Telok Mas, di sini, hari ini.

Whatsapp image 2025 12 18 at 14.08.13
ARMAN Rumaizi menyampaikan peruntukan kepada Pengetua SMK Tun Tijah pada Majlis Penyerahan Sekolah Angkat MADANI 2025 UPNM.

Menurut Arman Rumaizi, menerusi program itu, ia secara tidak langsung membuktikan bahawa apabila universiti, sekolah dan komuniti bergerak seiringan, perubahan bukan lagi satu slogan tetapi sebuah realiti.

“Program Sekolah Angkat MADANI ini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada sekolah dan warga pendidik tetapi turut menjadi wadah pembelajaran bermakna kepada mahasiswa serta warga UPNM yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaannya.

“UPNM juga sentiasa terbuka dan komited untuk meneruskan kolaborasi jangka panjang bersama sekolah-sekolah ini serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) khususnya dalam memastikan murid-murid terus menerima sokongan moral serta akademik yang sewajarnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

458
Kongsi :
Previous post 10 ANAK SYARIKAT MCORP CATAT KEUNTUNGAN
Next post KEMBARA MOTOSIKAL 60KM PROMOSI KARNIVAL MASJID TANAH: KAMPUNG KITA