
USAHA PROAKTIF MELAKA TARIK MINAT BELIA PILIH TVET
AYER KEROH 14 Jun – Kesungguhan Kerajaan Negeri memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri ini bakal menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada golongan belia, sekali gus menjamin masa hadapan yang cerah buat mereka.
Malah, inisiatif dilaksanakan di bawah pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut memfokuskan penubuhan Pusat Kecemerlangan TVET di negeri ini dalam usaha menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat pendidikan TVET terkemuka negara.
Bagi pelajar Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin, Jasin, Nur Hasya Afiah Halil, 17, berkata, TVET harus dijadikan pilihan utama kerana menyediakan peluang pekerjaan yang cerah dan usaha dibuat Kerajaan Negeri dapat membantu menarik minat lebih ramai anak muda ke arah bidang tersebut.
“Sebelum ini, pengetahuan tentang TVET agak kurang dan tidak begitu meluas malah saya sendiri kurang faham tetapi selepas banyak hebahan tentangnya dibuat ia membuatkan pendedahan itu semakin bertambah.
“Malah komitmen yang tinggi dari Kerajaan Negeri juga akan membantu menjadikan TVET pilihan ramai termasuklah pelajar lepasan sekolah.
“Menceburi bidang TVET ini membuat kita mempunyai banyak pilihan selain peluang pekerjaan tersedia juga banyak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Turut senada, Nur Farhah Wahi Akhbar, 27, yang menyifatkan selain kementerian terlibat, Kerajaan Negeri juga memberikan komitmen tinggi dalam memastikan bidang TVET menjadi pilihan utama.
“Selain satu bidang yang luas, TVET juga tidak terhad kepada golongan lelaki sahaja sebaliknya wanita juga mempunyai peluang yang cerah.
“Selain Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (ICYM), di Melaka ini mempunyai banyak institusi TVET lain yang menawarkan pelbagai bidang dengan sokongan yang tinggi daripada Kerajaan Negeri.
“Bidang TVET ini bukan sahaja membantu seseorang itu mengenali dan mengasah potensi sebenar dalam diri, bahkan menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan lebih ramai usahawan baharu pada masa akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.