Sorting by

×

USAHA TRANSFORMASI PENDIDIKAN MELAKA SUATU PELABURAN MENGUNTUNGKAN

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 13 Disember – Langkah awal Melaka melakukan transformasi pendidikan dengan menganjurkan Konvensyen Khas Pendidikan Negeri Melaka berpotensi menjadi pelaburan jangka panjang yang menguntungkan.

Reaksi itu dizahirkan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman yang menyifatkan Melaka sentiasa terkehadapan dalam apa jua bidang.

Beliau turut menyambut baik beberapa resolusi yang akan dibawa ke peringkat Kementerian Pendidikan, antaranya menarik keistimewaan kepada pelajar kerap ponteng sekolah dan mempunyai masalah disiplin, selain menguatkuasakan semula hukuman rotan di sekolah.

“Sebagai ibu bapa saya amat menyambut baik segala syor dan dapatan yang dibawa pada konvensyen ini, lebih-lebih lagi apabila melihat isu dan gejala sosial semakin menular dalam kalangan anak-anak masa kini.

“Konvensyen ini merupakan usaha terbaik dilakukan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang jelas mengutamakan pelbagai perkara termasuk memberi perhatian khusus kepada aspek pendidikan anak bangsa.

“Ia juga sekali gus menyaksikan Melaka sentiasa mendahului negeri-negeri lain dalam membawa impak bukan sahaja kepada negeri, bahkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Khas Kerajaan Negeri Bersama PIBG Sekolah, Komuniti dan Rakan Strategik Pendidikan Negeri Melaka Tahun 2025 yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Menurut Abdul Razak, walaupun Melaka dikenali sebagai negeri pelancongan, namun komitmen dan iltizam Kerajaan Negeri pada masa kini jelas lebih inklusif dengan memberi tumpuan kepada segenap dimensi termasuklah dalam pendidikan dan pelaburan.

“Ini membuktikan kerajaan pada hari ini menitikberatkan pelbagai perkara. Justeru, rakyat wajar berbangga dan memberi sokongan terhadap segala usaha dilakukan memajukan negeri ini,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

312
Kongsi :
Previous post 162 INISIATIF JADI ASAS MELAKA BINA GENERASI BERAKHLAK DI SEKOLAH
Next post JUALAN MURAH SETIAP BULAN DI DUN PAYA RUMPUT