Sorting by

×

UTEM JADI PILIHAN IPT INDIA JALIN KERJASAMA AI, KESELAMATAN SIBER

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 30 Mei – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila menjadi rujukan utama bagi institusi pengajian tinggi (IPT) luar negara, termasuk negara India.

Selaras dengan pengiktirafan tersebut, sebuah institusi pendidikan tinggi swasta autonomi terkemuka di India, PACE Institute of Technology and Science (PACE ITS), telah memilih UTeM sebagai rakan strategik melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PACE ITS dan UTeM telah berlangsung di Bangunan Canselori, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini, dengan PACE ITS diwakili oleh Dr. Sridhar Maddisetty dan Dr. G.V.K. Murthy.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, langkah itu merupakan strategi penting UTeM dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa, khususnya melibatkan bidang mobiliti pelajar, pembangunan kapasiti, penyelidikan bersama serta pemindahan pengetahuan.

“Sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, UTeM dijangka menerima 15 pelajar mobiliti inbound dari PACE ITS pada Julai 2025.

“Selain itu, kerjasama ini turut merangkumi projek konsultasi pembangunan sahsiah pelajar yang dirancang berlangsung pada Disember 2025, melibatkan pelajar PACE ITS dalam program pembangunan holistik dan kepimpinan,” katanya.

Katanya, inisiatif itu juga berpotensi sebagai pelaksanaan geran dan program pembangunan kapasiti yang akan memperkukuh kerjasama akademik dan profesional antara kedua-dua institusi.

“Kerjasama dua hala antara UTeM dan PACE ITS turut memfokuskan kepada beberapa projek berimpak tinggi termasuk penganjuran bengkel dan seminar bersama dalam bidang Kepintaran Buatan serta Keselamatan Pengkomputeran,” tambahnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua pihak sedang merancang rantaian kerjasama dalam bentuk penyelidikan bersama dan penerbitan akademik, dengan fokus kepada bidang berimpak tinggi.

Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif kerjasama antarabangsa itu juga sejajar dengan Pelan Strategik UTeM bagi memenuhi fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam bidang Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

778
Kongsi :
Previous post INISIATIF LPM BANTU RAKYAT KURANG BERKEMAMPUAN BAIK PULIH RUMAH
Next post SANTAI SAMBIL BELAJAR DI MUZIUM SEJARAH DAN ETHNOGRAFI