
UTEM PERKUKUH REPUTASI GLOBAL MENERUSI PENARAFAN QS WORLD UNIVERSITY RANGKINGS 2026
Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata pencapaian itu diraih menerusi bidang Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan yang kini melonjak ke kedudukan 351-400, manakala bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik berjaya berada dalam kelompok 401-450.
“Sementara itu, bidang Sains Komputer dan Sistem Maklumat terus mengekalkan momentum prestasinya dengan kekal berada pada kedudukan 651-700, sekali gus membuktikan konsistensi kualiti akademik universiti teknikal ini.
“Pencapaian ini dilihat sebagai manifestasi komitmen berterusan UTeM dalam memperkasakan kecemerlangan pengajaran, penyelidikan dan inovasi, selari dengan aspirasi untuk menjadi institusi pendidikan teknikal terkemuka pada peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Massila berkata kejayaan itu juga hasil daripada strategi berfokus dalam meningkatkan kualiti penyelidikan, impak penerbitan akademik, serta pengukuhan jaringan kolaborasi strategik bersama-sama rakan industri dan institusi antarabangsa yang semakin meluas.
Beliau berkata pencapaian itu juga hasil dedikasi tenaga akademik yang pakar dalam memastikan kurikulum kekal relevan dan berdaya saing yang menjadi tunjang utama kepada lonjakan penarafan ini.
Pencapaian berkenaan, katanya, bukan sekadar angka, tetapi turut memberikan impak besar dalam memperkukuh reputasi UTeM sebagai institusi pendidikan teknikal (TVET) aras tinggi yang diyakini oleh pihak berkepentingan pada peringkat antarabangsa.
“Hal ini akan membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik dan meningkatkan kebolehpasaran graduan kita di mata dunia,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk mempergiatkan usaha dalam penyelidikan berimpak tinggi dan memperluas kerjasama antarabangsa selain mengambil langkah proaktif bagi memperkasakan bidang keutamaan strategik universiti demi memastikan kecemerlangan yang mampan dan terus meningkat pada masa hadapan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


